HomeUtamaJadikan budaya turun padang sebagai keutamaan, tanggungjawab - Jamawi

Jadikan budaya turun padang sebagai keutamaan, tanggungjawab – Jamawi

Read Time:2 Minute, 10 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Warga Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) diingatkan agar menjadikan budaya turun padang sebagai keutamaan dalam usaha memperkasa komuniti nelayan dan usahawan di negeri ini.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar, berkata pendekatan mendekati rakyat secara langsung lebih berkesan berbanding hanya menunggu pelanggan hadir ke pejabat untuk mengemukakan aduan.

Jamawi Jaafar

Beliau berkata, realiti kehidupan nelayan tidak boleh difahami sepenuhnya melalui laporan bertulis atau perbincangan di bilik mesyuarat semata-mata.

“Nelayan kita berada di laut, di sungai, di jeti dan di pasar. Ada yang hanya menggunakan sampan tanpa enjin untuk mencari rezeki.

“Kalau kita benar-benar mahu membantu mereka, kita perlu berada di tempat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Ko-Nelayan di sini pada Jumaat.

Hadir sama Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam dan Pengurus Besar Ko-Nelayan Yusof Ag Besar.

Yusof menyampaikan cenderamata kepada Jamawi pada majlis itu

Jamawi berkata, budaya turun di lapangan membolehkan pegawai atau kakitangan memahami isu sebenar seperti jeti rosak, kekurangan peralatan menangkap ikan dan kemudahan pemasaran yang tidak mencukupi.

Katanya, perbincangan di pejabat tanpa meninjau lokasi sebenar hanya akan menghadkan kefahaman terhadap masalah yang dihadapi golongan terbabit.

“Bagaimana kita mahu selesaikan isu jeti hampir roboh jika kita sendiri tidak melihat keadaannya? Bagaimana kita mahu perbaiki tempat jualan hasil laut jika kita tidak turun meninjau?,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa setiap kelemahan dalam penyampaian perkhidmatan boleh memberi kesan langsung kepada pendapatan nelayan dan kesejahteraan keluarga mereka.

Justeru, beliau mahu semua warga Ko-Nelayan memperkukuh komitmen untuk bergerak seiring dengan rakyat, memastikan setiap permasalahan di lapangan ditangani secara proaktif demi meningkatkan taraf hidup komuniti nelayan Sabah.

Dalam pada itu, Jamawi berkata, Ko-Nelayan berjaya mencatat pencapaian fizikal 90 peratus bagi pelaksanaan program di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sekali gus membuktikan prestasi membanggakan agensi itu dalam memperkasa sektor perikanan dan komuniti nelayan di Sabah.

Katanya, agensi itu telah berjaya merekodkan perbelanjaan sebanyak RM36,102,198 daripada jumlah siling peruntukan RM39,786,259 yang diterima bagi pelaksanaan 20 program dalam RMK-12.

Beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai satu kejayaan besar yang mencerminkan komitmen tinggi serta kecekapan pengurusan dan pelaksanaan program oleh seluruh warga kerja agensi berkenaan.

“Tahniah kepada Ko-Nelayan atas pencapaian 90 peratus ini. Ia bukan sahaja menunjukkan keberkesanan perancangan dan pelaksanaan, malah membuktikan kesungguhan dalam memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan nelayan,” katanya.

Jamawi berkata, pencapaian itu wajar dijadikan pemangkin untuk terus meningkatkan prestasi, khususnya menjelang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang memperuntukkan lebih RM100 juta bagi pelaksanaan 28 program. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Hayati al-Quran sebagai asas pembinaan  umat progresif, sejahtera 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular