HomeUtamaOps Pantau Ramadan bermula 19 Februari hingga 20 Mac

Ops Pantau Ramadan bermula 19 Februari hingga 20 Mac

Read Time:2 Minute, 45 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Ops Pantau bermula 19 Februari hingga 20 Mac 2026 sempena Ramadan dan menjelang Aidilfitri bagi memastikan bekalan barangan mencukupi serta harga kekal terkawal di pasaran.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata operasi itu akan memberi tumpuan kepada pemantauan dan penguatkuasaan lebih kerap serta bersasar terhadap barangan keperluan utama seperti gula, ayam, telur ayam, minyak masak dan tepung gandum.

Menurutnya, selain memastikan bekalan mencukupi seperti yang dijamin Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, KPDN akan memantau supaya tiada peniaga menjual barangan kawalan melebihi harga ditetapkan, termasuk di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina yang berkuat kuasa 13 hingga 21 Februari.

“Pegawai penguat kuasa akan memantau di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Perihal Dagangan 2011. Kita akan pastikan tiada elemen pencatutan atau iklan yang mengelirukan, terutama dalam promosi jualan murah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan cawangan Burger King Benoni Drive-Thru di sini, hari ini.

Beliau berkata, Ops Pantau turut memberi fokus kepada bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar raya, pasar tani, pasar malam, tamu dan premis peruncitan, selain memperluas pemantauan terhadap penjualan secara dalam talian selaras perubahan trend kepenggunaan.

Katanya, bagi Ops Pantau 2025, sebanyak 70,906 premis diperiksa di seluruh negara dengan 360 kes dihasilkan membabitkan nilai rampasan berjumlah RM42,878.52. Di Sabah pula, sebanyak 3,403 premis diperiksa dengan 37 kes direkodkan.

“Antara kesalahan utama ialah gagal meletakkan tanda harga, kesalahan timbang dan sukat serta menjual barangan kawalan melebihi harga ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, KPDN akan menjalinkan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan peniaga di bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri mematuhi perundangan sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Pantau.

Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] seperti berikut:

Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga, individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dikompaun sehingga RM25,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM100,000 atau dikompaun sehingga RM50,000.

Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, atau dikompaun sehingga RM50,000. Syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

Armizan turut menggesa pengguna menyalurkan aduan melalui saluran rasmi KPDN bagi membolehkan tindakan segera diambil terhadap sebarang pelanggaran undang-undang.

Mengulas lanjut majlis hari ini, Armizan berkata merakamkan penghargaan kepada Cosmo Restaurant selaku pemegang francais induk Burger King di Malaysia kerana memilih Papar bagi pembukaan outlet kedua rangkaian itu selepas Plaza 22.

Beliau berkata, pembukaan di Benoni Commercial Center itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi setempat.

Menurutnya, komitmen syarikat untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan serta menyediakan latihan kemahiran adalah langkah positif dalam memperkasa tenaga kerja anak Sabah.

Selain itu, kelulusan untuk mendapatkan sumber bahan mentah daripada pembekal tempatan khususnya pembekal dari Sabah turut memberi impak baik kepada rantaian bekalan negeri dan membuka peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Kita akan memberi sokongan penuh terhadap usaha yang memberi manfaat kepada ekonomi dan masyarakat tempatan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

RM559.85 juta perkasa sekuriti makanan Sabah, sasar 60 peratus SSL menjelang...

Armizan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular