HomeUtamaPemilik, pengusaha bas dinasihat pasang SLD

Pemilik, pengusaha bas dinasihat pasang SLD

Read Time:1 Minute, 37 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : Pemilik dan pengusaha bas khususnya di negeri ini dinasihatkan untuk memastikan kenderaan mereka dilengkapi dengan sistem ‘Speed Limiting Device’ (SLD) bagi mengawal had kelajuan, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan akibat pemanduan laju.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin berkata, langkah itu merupakan salah satu tindakan pencegahan bagi pemandu bas memandu tidak melebihi had yang ditetapkan.

“Satu lagi ni nasihat kepada pemilik-pemilik bas, pastikan kenderaan dipasang SLD yang mana sistem ini adalah untuk ‘cut off’ kelajuan.

“Bila ada SLD ini, sekurang-kurangnya satu tindakan pencegahan daripada kita membawa laju,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas melancarkan Op Selamat Sempena Tahun Baharu Cina di Jalan Tuaran byPass, di sini pada Sabtu.

Azhar berkata, aspek pelepasan asap kenderaan turut diberi perhatian, khususnya bagi mengelakkan pengeluaran asap hitam yang boleh mengaburi penglihatan pengguna jalan raya lain dan menjadi punca kemalangan.

Pemeriksaan asap bas dijalankan ketika Ops Selamat dilaksanakan

Dalam pada itu, Azhar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaksanakan pemasangan pemacu USB khas di dalam bas sebagai medium penyampaian kempen keselamatan jalan raya serta pencegahan jenayah kepada penumpang.

Katanya, inisiatif itu diperkenalkan sempena pelaksanaan operasi bersepadu berskala kecil sebagai langkah permulaan, susulan operasi peringkat Bukit Aman yang diadakan beberapa hari lalu.

Menurutnya, pemacu USB berkenaan mengandungi pelbagai bahan video dan maklumat kempen yang dipaparkan sepanjang perjalanan bagi memastikan penumpang menerima pendedahan berterusan mengenai aspek keselamatan.

“Melalui pemasangan pendrive ini, maklumat kempen dapat disampaikan kepada penumpang agar mereka tidak hanya duduk atau tidur sepanjang perjalanan.

“Sekurang-kurangnya mereka dapat menonton dan memahami mesej keselamatan yang disampaikan,” katanya.

Beliau berkata, antara kandungan yang dimuatkan termasuk kesedaran keselamatan jalan raya, galakan menyertai program Volunteer Smartphone Patrol (VSP) serta mesej pencegahan jenayah.

Tambahnya, inisiatif tersebut akan diperluaskan ke lebih banyak bas bagi membolehkan lebih ramai penumpang mendapat manfaat daripada kempen yang dijalankan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Ops Pantau Ramadan bermula 19 Februari hingga 20 Mac

Armizan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular