KUDAT: Sekolah Kebangsaan (SK) Garau menjadi tuan rumah Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Daerah Kudat 2026, sekali gus menandakan penganjuran pertama acara peringkat daerah di sekolah berkenaan.
Kejohanan tahunan yang berlangsung di sekitar kawasan sekolah pada Sabtu itu merupakan sebahagian takwim rasmi MSS Daerah Kudat selain menjadi medan pemilihan atlet ke Kejohanan Merentas Desa peringkat negeri pada 2 April 2026 di Beluran.
Penganjuran turut melibatkan kerjasama pihak sekolah, komuniti setempat serta beberapa agensi keselamatan dan kesihatan bagi memastikan kelancaran pertandingan.
Sebanyak 12 sekolah menengah mengambil bahagian melibatkan 140 peserta terdiri daripada 37 lelaki bawah 15 tahun, 31 perempuan bawah 15 tahun, 41 lelaki bawah 18 tahun dan 31 perempuan bawah 18 tahun.
Bagi kategori sekolah rendah pula, 32 sekolah menyertai kejohanan dengan jumlah keseluruhan 231 peserta iaitu 126 lelaki bawah 12 tahun dan 105 perempuan bawah 12 tahun.
Penentuan kedudukan pasukan dibuat berdasarkan empat pelari terawal setiap pasukan yang menamatkan larian dengan agregat mata terendah dinobatkan sebagai johan keseluruhan.
Dalam kategori sekolah menengah, SMK Matunggong muncul juara keseluruhan diikuti SMK Pinawantai sebagai naib johan manakala SMK St. Peter Kudat di tempat ketiga.
Bagi sekolah rendah, Zon Matunggong meraih kejuaraan keseluruhan diikuti SK Padang Banggi di tempat kedua dan Zon Sikuati di tempat ketiga.

Bagi keputusan individu, kategori perempuan bawah 12 tahun dimenangi Kimberly Eina Remen dari Zon Matunggong diikuti Alvera Fedora Fardrek juga dari Zon Matunggong manakala tempat ketiga milik Arcely Florinetha Fardrek dari SK Garau.
Kategori lelaki bawah 12 tahun dimenangi Muhamad Riksan Abdullah dari SK Padang, diikuti Mohammad Asli Abdullah dan Messih Ading.
Dalam kategori perempuan bawah 15 tahun, Quennzy Prettely Jaidi dari SMK Pinawantai muncul juara manakala Nur Shafinaz Atishah Pehek dari K9 SK Sabur Banggi di tempat kedua dan Cassandra Eallveyra Bljeh dari SMK Matunggong di tempat ketiga.
Bagi lelaki bawah 15 tahun, Wellonel Felix dari SMK Pinawantai menjuarai saingan diikuti Rendy Arya Saputra dari K9 SK Sabur dan Muhamad Hasrim Alip Karim dari SMK Abdul Rahim.
Kategori perempuan bawah 18 tahun menyaksikan Ritchell Amanda Edward Tigawon dari SMK Matunggong muncul johan diikuti Nor Anisa Sahara Ibno dari SMK Sikuati dan Anzeozalina Zeolie Robert juga dari SMK Matunggong.
Dalam kategori lelaki bawah 18 tahun pula, Mohammad Ekmal Jamal dari SMK Abdul Rahim meraih tempat pertama diikuti Hassan Shah Habibullah dari SMK St. Peter Kudat dan Chris Bryan Stanley dari SMK Matunggong.
Guru Besar SK Garau merangkap Pengerusi Pengelola, Wahiddin Rashid berkata kejohanan itu bukan sekadar acara tahunan sebaliknya menjadi platform penting dalam pemilihan wakil daerah ke peringkat negeri selain menggalakkan murid mengekalkan disiplin latihan dan penjagaan kesihatan.
Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Unit Bakat Murid (Sukan), Sektor Pembangunan Murid PPD Kudat, Manchul Majujin pula merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah atas komitmen sebagai penganjur dan berharap atlet terpilih mampu mewakili daerah dengan baik di peringkat seterusnya.
Turut hadir Pegawai Teknikal Daerah Kudat, Samsu Rudi yang membantu pemantauan serta pematuhan peraturan pertandingan. Penganjuran turut disokong alumni sekolah, guru Zon Matunggong, Klinik Kesihatan Narandang, JPAM dan Pegawai Perhubungan Sekolah PDRM Daerah Kudat.



