KOTA KINABALU: Seorang ahli perniagaan yang menjanjikan pegangan saham didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan menipu seorang lelaki empat tahun lalu.
Kesalahan itu didakwa melibatkan jumlah wang sebanyak RM20 juta.
Tertuduh, Datuk Chee Chi Vun, 52, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zaini Fishir @ Faisal selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi individu yang masih bebas didakwa mencapai niat bersama menipu seorang lelaki berusia 75 tahun dengan memperdayakan beliau bahawa beliau akan diberikan pegangan saham sebanyak 45 peratus dalam Syarikat Deevin Development Sdn. Bhd.
Hal ini didakwa mendorong mangsa menyerahkan wang antara RM1 juta dan RM9 juta melalui beberapa cek kepada beberapa akaun bank milik tertuduh, individu lain serta syarikat tersebut antara 25 April 2022 dan 30 Ogos 2022 di Kota Kinabalu dan Penampang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, yang memperuntukkan penjara antara satu hingga 10 tahun, dan dengan sebat, dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 6 April untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3 juta dengan RM1.5 juta didepositkan beserta dua penjamin tempatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Faizah Mohd Salleh, Rohaiza Abd Rahman dan Eugenie Meredith Gilbert, manakala peguam Ariel Christopher Dasan dan Dominic Chew mewakili tertuduh.



