HomePendapatPENDAPAT | Industri Sawit Malaysia di Persimpangan

PENDAPAT | Industri Sawit Malaysia di Persimpangan

Read Time:5 Minute, 31 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

RINGKASAN AI 
• Industri kelapa sawit Malaysia berdepan cabaran struktur — pokok menua, produktiviti mendatar dan kebergantungan tinggi kepada tenaga kerja asing.
• Kadar replanting yang rendah (sekitar 2% berbanding optimum 5%) berisiko menjejaskan hasil jangka panjang walaupun harga CPO tinggi.
• Ancaman penyakit Ganoderma serta peningkatan kawasan pokok tua memberi tekanan tambahan kepada industri.
• Pertumbuhan masa depan tidak lagi bergantung kepada perluasan kawasan, tetapi peningkatan produktiviti melalui teknologi.
• Automasi, dron, AI dan mekanisasi ladang dilihat sebagai kunci transformasi industri untuk mengurangkan kos dan meningkatkan hasil.
• Kerajaan menyediakan peruntukan bagi automasi dan replanting, namun perubahan mindset pemain industri menjadi faktor penentu kejayaan

Industri kelapa sawit negara kini berada pada satu fasa kritikal apabila berdepan cabaran struktur yang semakin ketara. Antara isu paling mendesak ialah profil usia pokok kelapa sawit yang semakin menua serta tahap kebergantungan tinggi kepada tenaga kerja manusia, yang secara langsung memberi kesan kepada produktiviti jangka panjang.

Beberapa hari lalu, semasa 37th Palm & Lauric Oils Price Outlook Conference (POC) 2026, Pengerusi Malaysian Palm Oil Council (MPOC) mengingatkan bahawa hasil atau yield industri sawit berisiko menurun sekiranya aktiviti penanaman semula atau replanting terus ditangguhkan oleh pemilik ladang. Kenyataan ini bukan sekadar amaran biasa, tetapi satu refleksi terhadap realiti sebenar yang sedang berlaku di lapangan.

Antara faktor utama yang mendorong penangguhan replanting ialah harga minyak mentah sawit (CPO) yang tinggi. Berdasarkan data Malaysian Palm Oil Board (MPOB), kira-kira 30% atau 1.7 juta hektar kawasan sawit negara kini berusia 19 tahun ke atas, dan angka ini dijangka meningkat kepada 35% atau 2 juta hektar menjelang 2027. Ironinya, ketika harga komoditi meningkat, pemilik ladang cenderung untuk terus mengeksploitasi pokok sedia ada bagi memaksimumkan keuntungan jangka pendek.

Dalam masa sama, industri sebenarnya mempunyai ruang besar untuk meningkatkan pengeluaran CPO daripada 20.3 juta tan kepada 26 juta tan tanpa sebarang penyahhutanan, sekiranya aktiviti replanting menggunakan benih berkualiti tinggi serta amalan agronomi yang lebih baik dilaksanakan secara konsisten.

Namun cabaran industri bukan sekadar isu usia pokok. Ancaman penyakit kulat Ganoderma yang sering digelar sebagai ‘barah’ kelapa sawit turut memberi tekanan besar. Penyakit ini menyebabkan pereputan batang dan kematian pokok dalam tempoh 6 hingga 24 bulan. Pada tahun 2021 sahaja, MPOB melaporkan lebih 221,000 hektar estet sawit terjejas dengan anggaran kerugian mencecah RM1.5 bilion setahun.

Di persidangan yang sama, Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie menggambarkan keadaan industri sebagai berada di titik ‘krisis’, dengan pertumbuhan perlahan, hasil melembap dan keuntungan yang semakin terhakis. Salah satu punca utama yang dikenal pasti ialah kadar replanting nasional yang hanya sekitar 2% setahun, jauh di bawah kadar optimum 5% yang diperlukan bagi memastikan kemampanan jangka panjang.

Selain itu, kebergantungan tinggi kepada tenaga kerja asing juga dilihat sebagai risiko struktur yang signifikan. Industri seharusnya memberi fokus kepada mekanisasi kerja bukan penuaian seperti penyelenggaraan ladang, aplikasi baja serta kawalan makhluk perosak bagi mengurangkan risiko tersebut.

Hakikatnya, ramai pemilik ladang memilih untuk terus menjana keuntungan daripada pokok sedia ada. Apabila harga CPO meningkat, insentif untuk melakukan replanting menjadi semakin rendah kerana tempoh menunggu sekitar tiga tahun sebelum pokok baru menghasilkan buah dianggap terlalu panjang tanpa pendapatan. Walaupun pokok sudah tua dan kurang produktif, sekurang-kurangnya ia masih memberikan aliran tunai kepada pemilik.

Secara umum, kitaran hidup pokok kelapa sawit boleh dibahagikan kepada empat peringkat utama — pra-matang (1–3 tahun), matang muda (4–8 tahun), matang prime (9–22 tahun) dan tua (23–25 tahun). Realiti ini menunjukkan bahawa banyak kawasan ladang negara kini sudah berada di hujung fasa produktiviti optimum.

Kerajaan Malaysia sebelum ini menegaskan komitmen untuk mengekalkan had kawasan kelapa sawit pada 6.5 juta hektar selaras dengan Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN2030). Namun setakat ini, keluasan sebenar hanyalah sekitar 5.7 juta hektar, dengan Sarawak dan Sabah menyumbang sebahagian besar kawasan penanaman.

Daripada jumlah tersebut, lebih 210,000 pekebun kecil persendirian mengusahakan sekitar 814,402 hektar. Ini bermakna pertumbuhan industri tidak lagi boleh bergantung kepada perluasan kawasan, sebaliknya mesti berpaksikan peningkatan produktiviti di kawasan sedia ada.

Data MPOB menunjukkan purata hasil Buah Tandan Segar (BTS) bagi ladang berskala besar agak mendatar sepanjang 2020 hingga 2025. Negeri Perak secara konsisten mencatatkan hasil tertinggi melebihi purata nasional, manakala Sabah yang meliputi 26.3% kawasan sawit negara menunjukkan trend hasil yang lebih lemah.

Situasi ini memperlihatkan bahawa peningkatan produktiviti memerlukan perubahan mindset pemilik ladang. Tanpa anjakan kepada model pertanian berasaskan teknologi, usaha meningkatkan hasil akan terus terbantut. Automasi dan mekanisasi bukan sahaja mampu mengurangkan kos operasi, malah mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manusia.

Sebagai contoh, SD Guthrie pada tahun 2024 dilaporkan menyasarkan nisbah pekerja kepada keluasan ladang pada tahap 1:17.5 hektar menjelang 2027, berbanding purata industri masa kini sekitar 1:8 hektar. Perubahan ini menunjukkan arah tuju industri global yang semakin memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan kecekapan.

Menurut Ketua Penyelidikan dan Pembangunan SD Guthrie, cara kerja ladang sebenarnya tidak banyak berubah sejak 60 hingga 70 tahun lalu. Banyak aktiviti masih dilakukan secara manual, termasuk kerja membaja menggunakan pencedok dan baldi — satu gambaran jelas bahawa transformasi teknologi masih perlahan.

Selama ini, ketersediaan tenaga kerja asing yang murah menjadi faktor utama mengapa pemilik ladang kurang terdorong untuk melabur dalam automasi. Apabila kos buruh rendah, insentif untuk berinovasi juga menurun, menyebabkan cara kerja tradisional kekal berdekad-dekad.

Malangnya, masih ramai pemilik ladang berpegang kepada prinsip “if it is not broken, do not fix it,” walaupun teknologi seperti dron, robotik, Artificial Intelligence (AI) dan Internet of Things (IoT) sudah terbukti mampu meningkatkan produktiviti secara signifikan.

Teknologi dron semburan misalnya mampu meningkatkan produktiviti kerja sehingga tiga kali ganda dan mengurangkan keperluan tenaga kerja melebihi 50%. Satu pasukan dron yang terdiri daripada satu dron dan dua operator mampu menyembur racun di kawasan sekitar 12 hektar sehari, berbanding hanya empat hektar menggunakan kaedah tradisional.

Selain itu, penggunaan dron dan AI membolehkan pemantauan kesihatan pokok dilakukan secara pantas dan tepat, sekali gus membantu pemilik mengambil tindakan awal untuk meningkatkan hasil.

Menyedari kepentingan transformasi ini, Kerajaan Malaysia memperuntukkan RM20 juta pada tahun 2026 bagi menyokong automasi dan mekanisasi ladang. Di bawah Belanjawan Malaysia 2026, tambahan RM100 juta turut disediakan untuk program replanting pekebun kecil persendirian, dengan kadar pembiayaan RM14,000 sehektar di Semenanjung serta RM18,000 di Sabah dan Sarawak.

Peruntukan tersebut dijangka membantu sekitar 1,500 pekebun kecil melibatkan 5,900 hektar kawasan. Namun persoalannya, adakah peruntukan ini cukup untuk mencetuskan perubahan mindset industri secara menyeluruh?

Akhirnya, masa depan industri kelapa sawit negara bergantung kepada sejauh mana teknologi dapat diterapkan dalam operasi perladangan. Tanpa perubahan paradigma, industri mungkin terus terperangkap dalam kitaran lama yang mengekang produktiviti.

Teknologi bukan lagi pilihan — ia adalah kunci utama. Jika dimanfaatkan dengan berani, industri kelapa sawit Malaysia berpotensi melakar sejarah baharu. Jika tidak, ia berisiko menjadi sekadar catatan dalam sejarah pembangunan agrikomoditi negara.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Pendapat | MA63, Hak Sabah 40% dan Realiti Rundingan Persekutuan–Negeri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular