KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia akan mula menunaikan ibadah puasa Ramadan pada hari Khamis, 19 Februari 2026.
Pengumuman rasmi tarikh permulaan puasa itu dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad menerusi siaran langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.
Beliau berkata, tarikh tersebut ditetapkan bagi negeri-negeri di seluruh negara setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong serta Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Sebelum ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memaklumkan bahawa jawatankuasa berkaitan telah diperkenankan untuk melaksanakan cerapan anak bulan Ramadan di 29 lokasi strategik di seluruh negara.
Antaranya di Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian, Johor dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka.
Turut menjadi tempat cerapan anak bulan ialah Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan, serta Bukit Melawati, Kuala Selangor, Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.
Di Perak, lokasinya di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru di Manjung, Pulau Pinang (Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh) serta Kedah (Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar).
Lokasi lain ialah di Bukit Besar, Kuala Terengganu, Bukit Geliga, Kemaman, Pulau Perhentian, Besut, Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Mukim Merang, Setiu di Terengganu, serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh, Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC), Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu di Kelantan.
Selain itu, Pusat Falak Miri, Teluk Bandung, Kuching dan Bintulu di Sarawak, Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan di Sabah dan di Pahang melibatkan Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Gunung Berincang, Cameron Highlands serta Menara Kuantan 188 juga menjadi lokasi melihat anak bulan.
Turut terlibat adalah di Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang, Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.



