KOTA KINABALU : Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah melantik mana-mana ejen atau pihak ketiga untuk menguruskan permohonan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (RMSMJ).
Dalam satu kenyataan rasmi, kementerian itu memaklumkan bahawa semua urusan berkaitan permohonan RMSMJ dikendalikan sepenuhnya oleh pihak berkuasa yang berkaitan tanpa penglibatan wakil luar.
Menurut kenyataan tersebut, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Pejabat-Pejabat Daerah, Daerah Kecil serta Majlis Perbandaran di seluruh negeri juga tidak pernah melantik mana-mana individu atau syarikat sebagai ejen bagi program berkenaan.
Sehubungan itu, orang awam khususnya para pemohon dinasihatkan supaya tidak berurusan dengan mana-mana individu atau pihak yang mendakwa sebagai wakil atau ejen rasmi Program RMSMJ.
KPLB turut mengingatkan bahawa sebarang maklumat sahih dan terkini berhubung program tersebut hanya boleh diperoleh dengan merujuk terus kepada Pejabat-Pejabat Daerah, Daerah Kecil, Majlis Perbandaran atau DBKK di daerah masing-masing.
Orang ramai diminta sentiasa berwaspada bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan dan memastikan segala urusan dibuat melalui saluran rasmi yang ditetapkan.



