LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan terus mempergiatkan pemantauan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2026, yang melibatkan 14 barangan terkawal.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain, berkata menerusi pemeriksaan yang dijalankan oleh dua pasukan penguat kuasa di sekitar Labuan, dua peniaga runcit telah dikenakan tindakan kompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Seorang peniaga gagal meletakkan tanda harga jualan tunai pada barangan yang dipamerkan untuk jualan, manakala seorang lagi peniaga gagal menggunakan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal sepanjang tempoh pelaksanaan skim berkenaan,” katanya, sambil menambah pemantauan SHMMP akan berkuat kuasa selama sembilan hari bermula 13 hingga 21 Februari ini.
Junaidah berkata kegagalan mempamerkan tanda harga merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM10,000 manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000. Bagi kesalahan menjual barangan melebihi harga maksimum, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000,” katanya.
Sehubungan itu, KPDN Labuan mengingatkan semua peniaga agar sentiasa mematuhi harga maksimum, tidak menjual melebihi harga kawalan, dan mempamerkan tanda harga merah jambu dengan jelas bagi barangan yang terlibat sepanjang tempoh SHMMP ini.




