HomeUtamaGLC, sektor swasta diseru tampil salur bantuan kepada mangsa banjir

GLC, sektor swasta diseru tampil salur bantuan kepada mangsa banjir

Read Time:1 Minute, 15 Second

RANAU : Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta di negeri ini diseru tampil menyalurkan bantuan segera bagi membantu mangsa yang terjejas akibat banjir yang melanda di beberapa buah daerah di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, situasi banjir yang disifatkan antara terburuk itu memerlukan sokongan menyeluruh, bukan sahaja daripada agensi kerajaan tetapi juga pemain industri dan korporat.

Menurutnya, semua agensi Kerajaan Negeri telah digerakkan seperti diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bagi memastikan keselamatan mangsa terjamin termasuk pemindahan ke pusat penempatan sementara (PPS) serta penyaluran bekalan makanan.

“Namun dalam keadaan jalan raya terputus dan perhubungan terganggu, cabaran untuk memastikan bekalan sampai kepada semua mangsa amat besar. 

“Justeru, sokongan GLC dan syarikat swasta amat diperlukan bagi mempercepat dan meluaskan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Pesuruhjaya Polis Sabah dan Warga Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau di sini pada Sabtu.

Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, penglibatan sektor korporat boleh disalurkan dalam pelbagai bentuk termasuk sumbangan kewangan, bekalan makanan, barangan keperluan asas, bantuan logistik serta tenaga sukarelawan.

Beliau turut mengingatkan pihak pengurusan di peringkat daerah supaya mengambil langkah proaktif memastikan tiada mangsa yang tercicir daripada menerima bantuan.

“Dalam situasi seperti ini, semangat kebersamaan amat penting. Kita mahu pastikan setiap mangsa yang terjejas akibat banjir besar ini mendapat bantuan sewajarnya dan tidak terpinggir,” katanya.

Menurutnya lagi, kerjasama erat antara kerajaan, GLC dan sektor swasta akan memperkukuh usaha pemulihan serta membantu mangsa bangkit semula selepas bencana berkenaan. – SABAH MEDIA / FOTO PEJABAT MENTERI MOF

RELATED ARTICLES
Armizan merakamkan gambar bersama penduduk Kawang semasa Program Jualan Rahmah MADANI di kawasan DUN Kawang itu.
Utama

Ahli Parlimen Papar terus pantau projek naik taraf LRA Kogopon 2

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular