PAITAN: Seramai sembilan pelajar yang terjejas banjir melibatkan beberapa buah kampung di sini berjaya dipindahkan untuk meneruskan perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salaping, Kota Marudu, hari ini.
Kesemua mereka yang merupakan calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2025 dibantu keluar anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Paitan selepas laluan utama ke kediaman mereka dinaiki air berikutan peningkatan paras banjir.
APM Paitan dalam satu kenyataan memaklumkan, keadaan banjir menyebabkan pelajar sukar keluar dari kawasan masing-masing sekali gus menimbulkan kebimbangan mereka akan tercicir daripada sesi pembelajaran dan persediaan peperiksaan penting.

Bertindak atas maklumat yang diterima, anggota APM menjalankan operasi pemindahan secara selamat dan terkawal dengan menggunakan kenderaan bagi memastikan pelajar dapat tiba ke sekolah tanpa sebarang risiko keselamatan.
Operasi tersebut berjalan lancar hasil kerjasama dan komitmen tinggi anggota bertugas yang sentiasa mengutamakan aspek keselamatan serta kebajikan pelajar sepanjang proses pemindahan.
Bantuan berkenaan memberi impak besar bukan sahaja kepada pelajar, malah turut melegakan ibu bapa yang bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka dalam situasi bencana.
Tindakan pantas ini sekali gus menyerlahkan kepentingan kesiapsiagaan pasukan penyelamat dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.



