HomeUtamaRUU Hadkan Tempoh Jawatan PM Dibentang Bagi Bacaan Kali Pertama Di Dewan...

RUU Hadkan Tempoh Jawatan PM Dibentang Bagi Bacaan Kali Pertama Di Dewan Rakyat

Read Time:1 Minute, 18 Second

KUALA LUMPUR — Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 yang mencadangkan had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun telah dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

RUU berkenaan dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, yang memaklumkan bacaan kali kedua dijangka berlangsung pada minggu hadapan.

Berdasarkan naskhah biru, pindaan tersebut bertujuan memasukkan fasal baharu (2a) di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan. Fasal itu memperuntukkan bahawa seseorang Perdana Menteri yang dilantik mengikut perenggan (2)(a) tidak boleh memegang jawatan tersebut melebihi tempoh agregat 10 tahun, sama ada secara berterusan atau tidak.

RUU itu turut mencadangkan penambahan fasal baharu (4a) hingga (4d). Di bawah fasal (4a), Perdana Menteri hendaklah terhenti memegang jawatan apabila mencapai tempoh agregat 10 tahun. Fasal (4b) pula menetapkan bahawa anggota Jemaah Menteri turut terhenti memegang jawatan sekiranya Perdana Menteri berhenti di bawah peruntukan tersebut.

Bagi memastikan kelangsungan pentadbiran, fasal (4c) membenarkan Perdana Menteri serta Jemaah Menteri yang telah terhenti memegang jawatan untuk terus melaksanakan fungsi terhad sehingga Perdana Menteri baharu dilantik mengikut perenggan (2)(a). Fungsi yang dibenarkan adalah bagi memastikan pentadbiran harian kerajaan berjalan tanpa gangguan.

Sementara itu, fasal (4d) memperincikan kaedah pengiraan tempoh agregat 10 tahun, termasuk mengambil kira tempoh perkhidmatan sebelum pindaan ini berkuat kuasa. Namun, tempoh seseorang melaksanakan fungsi Perdana Menteri selepas pembubaran Parlimen di bawah Fasal (2) Perkara 55 tidak boleh diambil kira.

Selain itu, pindaan berbangkit turut dicadangkan terhadap Fasal (5) Perkara 43 susulan kemasukan fasal baharu berkaitan pemberhentian jawatan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

RELATED ARTICLES
Utama

Perbicaraan sivil AuMas diteruskan di Mahkamah Tinggi Tawau

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular