HomeUtama401 bangunan di Sabah patuhi syarat Sijil Perakuan Bomba

401 bangunan di Sabah patuhi syarat Sijil Perakuan Bomba

Read Time:1 Minute, 36 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : Sebanyak 401 premis atau 80 peratus bangunan yang dikategorikan sebagai premis ditetapkan di Sabah sudah memiliki Sijil Perakuan Bomba (FC).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohd Pisar Aziz berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 497 bangunan yang direkodkan pihaknya sehingga Disember tahun lalu.

“Dalam pada itu, sebanyak 47 premis kerajaan telah disenaraikan dalam kategori premis ditetapkan, di mana Wisma MUIS ini adalah salah satu daripadanya.

“Pemeriksaan untuk tujuan penguatkuasaan sekali setahun akan terus dijalankan untuk bangunan yang termasuk dalam kategori ini bagi memastikan sistem pepasangan keselamatan kebakaran berfungsi dengan baik serta amalan keselamatan berada pada tahap memuaskan.,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Sijil Perakuan Bomba kepada bangunan Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini pada Selasa.

Penyerahan sijil kepada MUIS diwakili Timbalan Yang Dipertua Datuk Malai Ali Malai Ahmad dan turut disaksikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Pisar berkata, pihaknya berharap agar pihak pengurusan Wisma MUIS akan terus mengekalkan tahap keselamatan kebakaran yang baik, bukan sahaja dari segi pematuhan teknikal tetapi juga melalui kesedaran, latihan, dan budaya pencegahan yang berterusan.

Beliau berkata, keselamatan merupakan tanggungjawab bersama dan perlu dipupuk dalam setiap lapisan masyarakat agar dapat membina sebuah negeri yang lebih selamat, sejahtera, dan berdaya tahan.

“Wisma MUIS, sebagai salah satu mercu tanda institusi Islam di Sabah, boleh menjadi contoh teladan kepada premis-premis lain dalam mematuhi undang-undang dan piawaian keselamatan kebakaran,” katanya.

Beliau berkata, sijil itu bukan sekadar dokumen rasmi, tetapi merupakan jaminan keselamatan yang memberi keyakinan kepada semua penghuni dan pengguna bangunan bahawa sistem pepasangan keselamatan kebakaran telah diperiksa, disahkan, dan berada dalam keadaan baik.

“Ia juga menjadi simbol tanggungjawab bersama dalam melindungi nyawa dan harta benda daripada ancaman kebakaran, serta mencerminkan kesungguhan pihak pengurusan bangunan untuk mematuhi keperluan pepasangan keselamatan kebakaran dan kelengkapan menentang kebakaran dalam bangunan ini berada dalam keadaan baik dan mencukupi,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki tempatan didenda RM10,000 benarkan imigran haram masuk premis

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular