SANDAKAN : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Hazem Mubarak Musa turun padang meninjau beberapa lokasi yang terjejas akibat banjir susulan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
Lawatan dimulakan di kawasan Pangkalan Sungai Buaya dengan mengunjungi kediaman penduduk yang dinaiki air.
Beliau turut menilai tahap kerosakan serta mengenal pasti keperluan segera mangsa terlibat bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan tepat.

Selain itu, Hazem turut memberi perhatian terhadap keadaan jambatan di kawasan berkenaan bagi memastikan aspek keselamatan serta akses keluar masuk penduduk tidak terjejas.
Di kawasan Peringkat Satu, beliau bukan sahaja menyantuni keluarga yang terkesan, malah meluangkan masa menziarahi seorang penduduk uzur sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat setempat.
Lawatan diteruskan ke Peringkat Lima untuk meninjau beberapa lagi rumah yang terjejas sebelum beliau bergerak ke Kampung Jawa bagi melawat dua kediaman mangsa banjir.
Hazem kemudiannya ke Pekan Muhibbah untuk melihat sendiri situasi banjir yang menimpa penduduk di kawasan tersebut.
Lawatan berkenaan bertujuan mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai impak bencana selain memastikan tindakan susulan serta penyelarasan bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kebajikan mangsa.



