PARLIMEN : Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 dijangka membuka ruang kepada Sabah dan Sarawak memperoleh kuasa perundangan lebih luas dalam pengurusan buangan terjadual, selaras dengan Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata pindaan kali kelapan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) itu memberi autonomi kepada kedua-dua negeri berkenaan untuk melaksanakan peruntukan tertentu di bawah akta tersebut.
Menurut beliau, langkah berkenaan selari dengan keputusan Mesyuarat Khas Majlis Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) pada 14 April 2022 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, khususnya berkaitan pemberian kuasa pengurusan serta kawal selia sisa buangan terjadual di darat dan dalam perairan negeri masing-masing.
Arthur menjelaskan bahawa pindaan yang dicadangkan bukan sahaja bertujuan memperkukuh tadbir urus pengurusan sisa terjadual, malah mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasakan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta prinsip federalisme seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut memaklumkan bahawa sejak 2022, pelbagai sesi libat urus, bengkel serta mesyuarat teknikal telah diadakan dengan penglibatan aktif kerajaan negeri bagi memastikan pelaksanaan pemberian kuasa itu berjalan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.
RUU berkenaan yang dibentangkan pada 11 Februari lalu turut mencadangkan pindaan terhadap Seksyen 1 Akta 127 dengan memasukkan subseksyen (3) baharu, yang memberi kuasa kepada menteri untuk menggantung pelaksanaan keseluruhan atau sebahagian peruntukan akta itu di bahagian tertentu di Malaysia mengikut keperluan.



