BEAUFORT: Aktiviti perniagaan sekitar Pekan Beaufort di sini, lumpuh sepenuhnya apabila hampir keseluruhan kawasan pekan ini ditenggelami air selepas paras air Sungai Padas dilaporkan semakin meningkat sebelum melimpah ke jalan raya berhampiran.
Tinjauan Sabah Media mendapati semua jalan raya di kawasan pekan tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan, manakala sebahagian besar tingkat bawah premis dimasuki air.
Turut terjejas ialah premis bertiang, khususnya bangunan kedai lama yang dibina khas bagi mengelak banjir yang menjadi ciri ikonik pekan Beaufort.

Dengan ketinggian tiang lebih semeter dari permukaan tanah, paras air banjir akibat limpahan air Sungai Padas kebiasaannya tidak melepasi lantai bangunan.
Namun, situasi berbeza kali ini apabila paras air turut melepasi lantai bangunan bertiang, menggambarkan banjir luar biasa yang melanda daerah ini.
Selain premis kedai, banjir turut memasuki stesen kereta api dan menjejaskan perkhidmatan yang menghubungkan daerah ini dengan Kota Kinabalu dan kampung di bahagian hulu Sungai Padas.
Beberapa premis kerajaan seperti Pejabat Daerah dan Klinik Pergigian, Klinik Kesihatan serta beberapa sekolah berhampiran pekan juga terjejas akibat banjir.
Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, seramai 3,617 orang daripada 1,265 keluarga terjejas banjir direkodkan setakat jam 12 tengah hari tadi.
Menurut lapoan JPBN, enam daerah terjejas melibatkan 146 kampung, dengan 17 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kini beroperasi.

Daerah Tenom mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,848 orang daripada 647 keluarga melibatkan 46 kampung, diikuti Beaufort dengan 948 mangsa daripada 292 keluarga membabitkan 58 kampung.
Di Sipitang, seramai 421 mangsa daripada 176 keluarga direkodkan terjejas, manakala Membakut mencatatkan 321 mangsa daripada 125 keluarga.
Sook pula merekodkan 79 mangsa daripada 25 keluarga, sementara Pitas dilaporkan tiada mangsa selepas PPS di daerah berkenaan ditutup pagi tadi.
Beberapa PPS dilaporkan mencatat peningkatan jumlah mangsa termasuk PPS Dewan DUN Banir di Beaufort, SMK St Patrick di Membakut serta Dewan Jinuin Jimin di Tenom. – SABAH MEDIA



