SANDAKAN: Seorang penyelia di sebuah syarikat pemberi pinjaman berlesen dibebaskan daripada empat pertuduhan penipuan berkaitan pinjaman palsu berjumlah lebih RM70,000.
Majistret Nur Faezah Jafry membuat keputusan itu pada Rabu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Gui Chee Wai, 33.
Gui dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan tanpa dipanggil membela diri.
Berdasarkan pertuduhan, Gui didakwa menipu Syarikat Tasek Reka Sdn. Bhd. dengan curangnya untuk meluluskan empat pinjaman palsu bagi empat orang pelanggan berjumlah RM39,000; RM12,500; RM7,500; dan RM17,740, antara 27 Julai 2022 hingga 19 Januari 2023, yang diketahui oleh tertuduh tidak wujud.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan yang bermula pada 13 Februari 2025 menyaksikan lima saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan.
Gui diwakili oleh peguam Dominic Chew Ban Huat, manakala pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jasmine Walker.



