KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan kerana merogol seorang remaja perempuan bawah umur yang dikenalinya melalui aplikasi TikTok.
Rafinus Bata Tukan, 30, mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Monica Linsua, namun menegaskan bahawa hubungan itu berlaku secara suka sama suka.
“Kami sama-sama mahu,” katanya, sambil menambah bahawa mangsa memberitahunya dia sudah berusia 18 tahun.
Rafinus didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap mangsa berusia 15 tahun pada 7 Disember 2025 kira-kira jam 7 malam di sebuah bilik sewa di Inanam.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes pengadu pada 18 Disember 2025, jam lebih kurang 1.42 petang, pengadu telah datang ke Balai Polis Tuaran untuk membuat pembatalan laporan polis keluar rumah anak perempuannya (mangsa).
Pengadu dimaklumkan oleh anaknya sendiri bahawa dia telah melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya.
Siasatan mendapati pada 7 Disember 2025 jam lebih kurang 8.47 pagi, pengadu telah membuat laporan kehilangan anak perempuannya telah keluar rumah pada 6 Disember mengikuti tertuduh yang baru dikenali selama sebulan melalui Tik Tok, menaiki motorsikal.
Fakta kes turut mendedahkan bahawa mangsa telah melaporkan kepada pengadu bahawa semasa dia berada di bilik sewa teman lelakinya yang Bernama Boboy.
Tertuduh telah mengajak mangsa untuk melakukan hubungan seks dan semasa kejadian mangsa berumur 15 tahun 9 bulan semasa kejadian berdasarkan kad pengenalan mangsa.
Selepas fakta kes dibacakan, tertuduh mengakui melakukan perbuatan itu tetapi menafikan memaksa mangsa, dan menegaskan bahawa hubungan itu berlaku secara rela dan manga sendiri datang ke tempatnya.
Mengenai laporan kehilangan mangsa, tertuduh menjelaskan bahawa dia hanya bersama mangsa pada 7 Disember dan telah menyuruh mangsa pulang, tetapi mangsa enggan dan pergi ke rumah rakannya.
Dalam rayuannya, tertuduh tidak diwakili peguam dan memohon hukuman ringan kerana merupakan anak sulung serta perlu menanggung ayah dan adik-beradiknya.
Rafinus turut menyatakan bahawa dia bekerja di sebuah bengkel dan menyesal atas kejadian itu.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh memandangan rogol merupakan kesalahan serius dan mangsa di bawah umur matang pada masa kejadian.
Walaupun tertuduh mendakwa hubungan seks itu berlaku secara suka sama suka, undang-undang jelas bahawa melakukan hubungan seks dengan individu di bawah umur adalah satu kesalahan.



