HomeUtamaTM Sabah edar 2,000 pek bubur lambuk

TM Sabah edar 2,000 pek bubur lambuk

Read Time:1 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak 2,000 pek bubur lambuk diagihkan kepada masyarakat sempena Program Cahaya Ramadan 2026 anjuran Telekom Malaysia (TM) Sabah dengan kerjasama Adabi.

Pengurus Besar TM Sabah Sahrimin Mohd Iman berkata, program berkenaan merupakan inisiatif Yayasan TM dan memasuki tahun kedua pelaksanaannya dengan penglibatan lebih 100 anggota NGO TM Sabah .

Katanya, ia terdiri daripada Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia (BAKIT), Persatuan Isteri-isteri dan Anggota Wanita Telekom Malaysia (Tiaranita) serta Kelab TM Sabah.

“Program ini diadakan bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan dengan aktiviti yang bermanfaat selain menyemai nilai kemanusiaan dan keprihatinan dalam kalangan warga TM serta masyarakat.

“Kira-kira 2,000 pek bubur lambuk kita agihkan pada hari ini kepada masyarakat melalui masjid dan juga barisan hadapan seperti anggota PDRM serta petugas hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program berkenaan yang berlangsung di Bangunan IPK TM Sabah, di sini pada Khamis.

Sahrimin yang juga Yang Dipertua BAKIT Sabah berkata, program itu bertujuan memperkukuh ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan warga TM Sabah serta masyarakat selain mendidik dan menyantuni semua golongan tanpa mengira latar belakang.

Selain pengagihan bubur lambuk, TM Sabah turut melaksanakan Program Bakul Makanan anjuran Yayasan TM yang menyasarkan kira-kira 200 penerima dalam kalangan asnaf dan fakir miskin.

“Program bakul makanan ini akan diagihkan bermula 7 Mac pada Program Tautan Ramadan TM Sabah di Tuaran dan kita harapkan ia dapat membantu meringankan beban penerima sepanjang bulan yang mulia ini,” katanya.

Katanya, pengagihan bakul makanan turut diperluaskan ke seluruh Sabah termasuk di Sandakan, Tawau dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Program ini mencerminkan komitmen berterusan TM Sabah dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat serta menyantuni masyarakat yang memerlukan khususnya sepanjang bulan Ramadan ini,” tambahnya.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Penerangan Negeri Sabah, Azman Sipan.

RELATED ARTICLES
Utama

Cadangan luruskan Sungai Padas atasi banjir luar biasa di Beaufort

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular