HomeSukanLiga Super : Sabah FC bangkit selamatkan satu mata di Likas

Liga Super : Sabah FC bangkit selamatkan satu mata di Likas

Read Time:1 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU: Sabah FC bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Negeri Sembilan FC 1-1 dalam aksi liga di Stadium Likas di sini malam tadi.

Perlawanan yang berlangsung sengit itu menyaksikan kedua-dua pasukan turun dengan misi besar selepas perubahan di bangku kejurulatihan masing-masing, dengan Sabah kini dibimbing Juan Torres Garrido manakala Negeri Sembilan dikendalikan jurulatih interim K. Rajan.

Sabah yang beraksi di hadapan penyokong sendiri mempamerkan aksi lebih agresif pada babak pertama menerusi kombinasi Darren Lok, Fergus Tierney dan Farhan Roslan, namun ketumpulan penyudah serta disiplin pertahanan pelawat menggagalkan hasrat tuan rumah membuka jaringan awal.

Sebaliknya, Negeri Sembilan terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah pada minit ke-33 menerusi rembatan deras Jovan Motika yang menewaskan penjaga gol Sabah, Damien Lim.

Ketinggalan satu gol menyuntik semangat kebangkitan Sang Badak pada separuh masa kedua apabila Garrido melakukan rombakan taktikal dengan memasukkan S. Kumaahran bagi menambah sengat serangan.

Pertukaran itu membuahkan hasil apabila Kumaahran menyamakan kedudukan pada minit ke-69 sekali gus menghidupkan kembali sorakan ribuan penyokong di Stadium Likas.

Kedua-dua pasukan terus saling berbalas serangan dalam usaha memburu gol kemenangan, namun keputusan 1-1 kekal sehingga wisel penamat.

Keputusan itu menyaksikan Negeri Sembilan kekal di tangga ketujuh liga dengan 18 mata, manakala Sabah menghuni kedudukan ke-10 dengan 15 mata.

Sabah kini mengalihkan tumpuan kepada aksi separuh akhir MFL Challenge Cup menentang Perak FA pada 4 Mac ini, sementara Negeri Sembilan bakal membuat perhitungan dengan Penang FC pada 7 Mac. – FOTO SABAH FC

RELATED ARTICLES
Sukan

Liga Super : Garrido mahu ledak aura baharu Sabah FC

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular