HomeUtamaMajlis bacaan Yasin, Tahlil kenang pengorbanan wira peristiwa Tanduo

Majlis bacaan Yasin, Tahlil kenang pengorbanan wira peristiwa Tanduo

Read Time:1 Minute, 36 Second

LAHAD DATU : Majlis Bacaan Yasin, Tahlil, Doa Selamat dan Ceramah bersempena Peringatan Peristiwa Tanduo telah diadakan dengan penuh khusyuk di Masjid Ar Raudhah, di sini pada Ahad.

Program anjuran Pejabat Daerah Lahad Datu bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) itu turut dihadiri pegawai-pegawai kanan dan anggota Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) serta ketua-ketua jabatan dan agensi keselamatan yang berpusat di daerah ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin, tahlil dan doa yang dipimpin Imam Daerah Lahad Datu merangkap Pegawai Penguat Kuasa Agama JHEAINS, Ustaz Mohammed Fahmy Abdul Rahman bersama Imam Kariah Masjid Ar Raudhah.

Acara diteruskan dengan tazkirah ringkas yang disampaikan Imam Masjid Ar Raudhah merangkap Jurunikah dan Wali Raja, Ustaz Sudirman Moh Saleng.

Hadir sama, Asisten Komisioner Azhari Nusi mewakili Komander ESSCOM, Pengerusi Masjid Ar Raudhah Lahad Datu Sari @ Usari Arshad serta Pegawai Tadbir Agama Lahad Datu, Ustaz Mardi Arifin.

Majlis tahunan ini diadakan bagi memperingati peristiwa pengorbanan pasukan keselamatan negara dalam mempertahankan kedaulatan tanah air ketika insiden pencerobohan kumpulan anasir asing di Kampung Tanduo, Lahad Datu serta serangan pengganas di Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna pada tahun 2013.

Tragedi tersebut membawa kepada pewartaan Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) dan penubuhan ESSCOM pada tahun sama.

Masyarakat turut diseru agar terus bekerjasama dengan kerajaan serta pasukan keselamatan dalam memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan negeri sentiasa terpelihara, di samping memperkukuh iltizam mempertahankan kedaulatan negara.

Tragedi itu kekal terpahat dalam ingatan warga pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Antara wira negara yang terkorban dalam pertempuran di Kampung Tanduo ialah Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat, Sarjan Sabarudin Daud, Koperal Ahmad Hurairah Ismail dan Koperal Ahmad Farhan Ruslan.

Manakala di Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna, enam lagi anggota keselamatan terkorban iaitu Allahyarham Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, Mendiang Deputi Superintenden Michael Padel, Sarjan Mejar Detektif Baharin Hamit, Sarjan Mejar Aziz Sarikun, Sarjan Sokongan Salam Togiran serta Koperal Mohd Azrul Tukiran.

RELATED ARTICLES
Utama

KYS perkukuh ukhuwah Ramadan di Ranau

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular