KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) memantau rapi perkembangan konflik semasa di Iran susulan gangguan terhadap ruang udara di kawasan Timur Tengah yang menyebabkan semua penerbangan pergi dan balik dari rantau berkenaan digantung buat masa ini.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, TH memaklumkan bahawa pihaknya sedang menilai situasi semasa dan akan membuat pemakluman lanjut dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan terkini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, berkata tindakan seterusnya akan dibuat dengan mengambil kira nasihat daripada rakan syarikat penerbangan, pihak berkuasa Arab Saudi serta Kementerian Luar Negeri Malaysia (Wisma Putra).
“Berkenaan dengan tanggungjawab TH kepada bakal jemaah negara, tindakan TH seterusnya akan berdasarkan nasihat yang diterima daripada rakan syarikat penerbangan, pihak berkuasa Saudi dan Wisma Putra,” katanya.
TH turut menegaskan bahawa keselamatan dan kebajikan bakal jemaah haji negara sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap keputusan yang dibuat.
Perkembangan lanjut akan dimaklumkan kepada bakal jemaah dan orang ramai sebaik sahaja maklumat baharu diperoleh.



