KOTA KINABALU: Seorang lelaki dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak, enam tahun lalu.
Hakim Amir Shah Amir Hassan membuat perintah tersebut terhadap Noredi Abu Bakar, 53, atas permintaan pihak pendakwaan hari ini.
Pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pengadu dalam kes ini telah membuat laporan polis untuk menarik balik laporan asal terhadap Noredi, yang bekerja sebagai pemandu kereta.
Pengadu hadir di mahkamah dan memberi keterangan bahawa beliau telah membuat laporan polis baharu untuk menarik balik laporan asalnya terhadap Noredi.
Peguam Muhamad Amirul Amin, yang mewakili Noredi, tidak membantah permintaan pihak pendakwaan itu.
Sebelu mini peguam pernah memaklumkan kepada Mahkamah bahawa Noredi adalah pemegang kad OKU.
Noredi didakwa melakukan kesalahan itu pada awal September 2020 di dalam kereta ketika bergerak dari tadika ke rumah di Tuaran. Mangsa ketika itu berusia enam tahun.
Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah juga memerintahkan agar wang jaminan Noredi dipulangkan kepadanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis.



