HomeUtama61 anak yatim dan asnaf dirai, santunan perlu konsisten bukan bermusim -...

61 anak yatim dan asnaf dirai, santunan perlu konsisten bukan bermusim – Julita

Read Time:1 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU: Usaha menyantuni anak yatim dan golongan asnaf tidak seharusnya bersifat bermusim atau tertumpu pada bulan tertentu sahaja, sebaliknya perlu dilaksanakan secara konsisten dan berterusan demi menjamin kebajikan serta masa depan mereka, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki.

Katanya, keprihatinan terhadap anak yatim dan golongan rentan perlu diterjemahkan melalui tindakan berterusan serta dasar yang inklusif, bukan sekadar program bermusim yang bersifat sementara.

“Kita tidak boleh hanya mengingati anak-anak ini pada bulan tertentu sahaja. Mereka adalah sebahagian daripada komuniti kita dan berhak menerima perhatian, sokongan serta peluang yang berterusan untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Berbuka Puasa anjuran Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Selasa.

Majlis itu menghimpunkan seramai 61 kanak-kanak membabitkan anak yatim dan golongan asnaf daripada beberapa institusi kebajikan, sekali gus memberi peluang kepada mereka berinteraksi dengan pemimpin masyarakat serta merasai kemeriahan dan semangat kebersamaan sepanjang Ramadan.

Tambah Julita lagi, pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan di Sabah bagi membantu golongan rentan termasuk anak yatim dan mereka yang memerlukan, agar kebajikan mereka terus terbela.

“Saya percaya di Sabah, golongan ini tidak dipinggirkan kerana terdapat banyak program yang sedang dilaksanakan untuk membantu mereka,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan masih terdapat ruang untuk memperkukuh dan memperluaskan program sedia ada supaya lebih ramai kanak-kanak memerlukan, termasuk pelajar di madrasah, terus mendapat bimbingan, sokongan dan galakan.

Turut hadir Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Haslina Ismail, serta Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Rosmawati Lasuki.

RELATED ARTICLES
Utama

Wanita warga China didenda masuk secara haram di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular