HomePolitikBorneo Bloc bukan soal menguatkan kuasa, tetapi memperkukuh keseimbangan Persekutuan

Borneo Bloc bukan soal menguatkan kuasa, tetapi memperkukuh keseimbangan Persekutuan

Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU: Kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim, yang mendakwa Sabah dan Sarawak menggunakan cadangan Borneo Bloc untuk memperkukuh kawalan politik di peringkat Persekutuan wajar dilihat dalam konteks sejarah serta semangat asal pembentukan Malaysia, kata Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata, cadangan pembentukan Borneo Bloc tidak harus ditafsirkan sebagai usaha mendominasi Semenanjung, sebaliknya merupakan langkah politik yang sah dan matang bagi menyelaraskan suara Sabah dan Sarawak dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Borneo secara lebih tersusun di Parlimen.

Menurutnya, dalam sistem persekutuan yang sihat, kerjasama antara wilayah bagi memperkukuh kedudukan rundingan adalah sesuatu yang lazim dan tidak sepatutnya dipandang negatif.

Beliau menegaskan bahawa asas pembentukan Malaysia pada tahun 1963 berteraskan prinsip perkongsian antara wilayah. Walaupun Sabah dan Sarawak ketika itu berada di bawah pentadbiran British, penyertaan kedua-duanya dalam Persekutuan dibuat melalui rundingan jelas yang disertai jaminan perlindungan tertentu bagi menjaga identiti, autonomi pentadbiran serta kepentingan rakyat tempatan.

Katanya, jaminan berkenaan termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi asas pembentukan negara ini.

“Perkara seperti kuasa imigresen, isu hasil petroleum, tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan serta aspek pelaksanaan MA63 bukanlah keistimewaan berlebihan, sebaliknya sebahagian daripada komitmen asal yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah beliau, usaha berterusan untuk menuntut dan memperkukuh pelaksanaan perkara-perkara berkenaan adalah selaras dengan semangat Persekutuan yang adil dan seimbang.

Mengulas cadangan menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak, Nizam berkata perkara itu perlu dilihat dari sudut representasi yang lebih saksama, mengambil kira keluasan wilayah, kepelbagaian geografi serta keperluan pembangunan yang berbeza.

“Pembentukan Borneo Bloc mencerminkan kematangan politik Sabah dan Sarawak dalam kerangka Persekutuan Malaysia. Ia bertujuan memperkukuh kerjasama antara kedua-dua wilayah supaya isu pembangunan, hak Perlembagaan dan kepentingan rakyat Borneo dapat diperjuangkan secara lebih teratur dan konstruktif,” katanya.

Beliau turut menegaskan, Malaysia dibina atas semangat kerjasama antara wilayah, bukan persaingan antara Semenanjung dan Borneo. Justeru, sebarang usaha memperkukuh keseimbangan dalam Persekutuan harus dilihat sebagai langkah memperkuatkan negara secara keseluruhan.

RELATED ARTICLES
Utama

EDITORIAL: Perlunya Penguatkuasaan ONSA Dan Larangan Penggunaan Media Sosial Bagi Mereka...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular