TENOM : Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bersetuju menyumbangkan enam buah motosikal baharu bagi menggantikan motosikal troli yang musnah dalam insiden kereta api hilang fungsi brek di Kampung Pangi, awal pagi semalam.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar berkata, perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim yang menghubungi beliau bagi menyampaikan persetujuan tersebut.
Beliau berkata, sumbangan berkenaan sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap enam anak muda yang kehilangan motosikal troli selepas kenderaan itu diletakkan di atas landasan bagi membantu memperlahankan kereta api yang tidak dapat dikawal.
“Jika tiada enam motosikal troli yang diletakkan di landasan, kemungkinan berlaku tragedi lebih buruk kerana kelajuan kereta api ketika itu tidak dapat dikawal sepenuhnya.
“Mewakili kesemua anak muda ini, saya merakamkan ucapan terima kasih dan menghargai keprihatinan Ketua Menteri atas sumbangan ini,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada pemandu kereta api yang disifatkan tenang dan tidak panik ketika berdepan detik cemas berkenaan.
Beliau berkata, kedudukan enam motosikal di landasan membantu memperlahankan tren sebelum pemandu berjaya mengawal keadaan sepenuhnya.
Jamawi turut menyifatkan enam pemilik motosikal troli dan pemandu kereta api sebagai ‘unsung hero’ yang bertindak berani demi keselamatan ramai.
Pada masa sama, Jamawi turut memberi sokongan moral kepada warga pendidik Sekolah Kebangsaan Pangi agar terus cekal mendidik anak-anak di kawasan pedalaman meskipun berdepan pelbagai cabaran.
“Semoga para guru tidak lemah semangat untuk terus mendidik anak bangsa di pedalaman. Kami bangga dengan komitmen anda semua,” katanya.



