Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman 26 tahun penjara dan 20 sebatan atas dua pertuduhan merogol adik kandungnya sendiri.
Buruh kasar berusia 25 tahun itu mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain.
Hurman menjatuhkan hukuman 13 tahun penjara dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan serta memerintahkan hukuman penjara dijalankan secara berasingan bermula dari tarikh tangkap.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan ketika dalam tahanan di bawah Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh telah merogol adiknya yang berusia 14 tahun pada waktu tengah hari, pertengahan Januari 2025, di dalam sebuah bilik di rumah tidak bernombor di sebuah kampung di Ranau.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan kesalahan sama terhadap mangsa yang sama pada pertengahan Januari 2025 antara jam 8 malam hingga 9 malam, di bawah kolong rumah tersebut.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 10 kali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah dimaklumkan bahawa mangsa membuat laporan polis pada 25 September 2025 berhubung kejadian tersebut, yang akhirnya membawa kepada penangkapan tertuduh.
Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dan agar hukuman penjara dijalankan serentak kerana perlu bekerja serta menanggung adik-beradiknya yang lain.
Menurutnya, bapanya telah meninggal dunia manakala ibunya sudah tua.
Tertuduh turut memohon mahkamah mempertimbangkan rayuannya memandangkan kes tersebut melibatkan aib serta masa depan keluarganya.
“Kami mahu bincang untuk cuba menutup kes ini tetapi tidak berjaya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat, dengan menyatakan bahawa kesalahan tersebut amat serius dan melibatkan pencabulan ke atas integriti tubuh badan serta maruah mangsa.
Beliau juga memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam, kesan trauma psikologi jangka panjang terhadap mangsa yang dirogol oleh abang kandungnya sendiri, serta fakta bahawa terdapat dua pertuduhan yang berlaku pada masa berasingan.



