Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang bapa berusia 44 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan mendera anak perempuannya yang berusia 12 tahun.
Turut didakwa bersama beliau ialah abang mangsa berusia 18 tahun dan kakak mangsa berusia 22 tahun atas pertuduhan yang sama.
Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Marlina Ibrahim selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut kertas pertuduhan mereka didakwa bersama-sama pada 21 Januari tahun ini jam lebih kurang 1 petang di rumah kediaman di Kampung Mansiang, Manggatal, telah menganiayai mangsa sehingga menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan fizikal.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 31(1) Akta yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah menetapkan 14 April untuk pengurusan kes pra-perbicaraan mereka.
Ketiga-tiga tertuduh dibenarkan diikat jamin RM5,000 setiap seorang beserta dua penjamin tempatan.
Mahkamah juga memerintahkan para tertuduh untuk melapor diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali sehingga kes mereka selesai dan menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah, jika ada.
Mahkamah menasihatkan mereka supaya tidak mendekati mangsa dan saksi pendakwaan dalam kes ini.
Timbalan Pendakwa Raya, DK Afiqah Alya AK Johari @ Pg Johari mengendalikan pendakwaan.



