Oleh Wan Azrain Adnan
Matematik merupakan kemahiran asas paling kritikal dalam era sains dan teknologi. Namun, realiti hari ini menunjukkan ramai bakat muda negara masih belum menguasai kemahiran ini pada tahap yang memuaskan. Kelemahan ini bukan sekadar isu pendidikan, tetapi memberi kesan langsung kepada agenda pembangunan negara, khususnya dalam memperkukuh bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).
Pada penghujung Februari 2026, ketika Persidangan Dewan Rakyat, Menteri Pendidikan Malaysia memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkukuh penguasaan asas literasi dan numerasi melalui pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027).
Di bawah pelaksanaan ini, waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP) Matematik di sekolah rendah akan disusun semula seperti berikut:
• Tahap I (Tahun 1 & 2): 3.5 jam seminggu
• Tahap II (Tahun 3 & 4): 3 jam seminggu
• Tahap III (Tahun 5 & 6): 3 jam seminggu
Secara keseluruhan, jumlah waktu PdP Matematik akan meningkat sebanyak 32 jam, daripada 576 jam kepada 608 jam sepanjang enam tahun persekolahan rendah.
Langkah ini dilihat sebagai pembetulan dasar. Jika ditelusuri sejarah, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) sejak 1993 memperuntukkan 3.5 jam seminggu untuk Matematik. Namun, melalui Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) pada 2011, waktu ini dikurangkan kepada 3 jam seminggu bagi memberi ruang kepada pengukuhan bahasa melalui dasar MBMMBI. Semakan KSSR pada 2017 pula mengekalkan kadar tersebut.
Selain peningkatan masa PdP, KPM turut memperkenalkan program intervensi melalui Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN), bagi memastikan pelajar benar-benar menguasai kemahiran asas sebelum melangkah ke peringkat menengah.
Keputusan ini sememangnya bertepatan dengan keadaan semasa. Data menunjukkan tahap pencapaian Matematik dalam kalangan pelajar masih membimbangkan. Dalam tempoh lapan tahun (2017–2024), lebih 600,000 calon SPM gagal dalam mata pelajaran Matematik. Walaupun terdapat trend penurunan sejak 2021, kadar kegagalan masih kekal melebihi 20%.
Sebagai contoh, dalam SPM 2024, daripada 375,115 calon, sekitar 22.4% atau kira-kira 84,000 calon gagal Matematik — bersamaan dua daripada setiap sepuluh calon. Lebih membimbangkan, apabila digabungkan calon yang memperoleh gred D, E dan gagal, jumlahnya mencecah 50.5%. Ini bermakna separuh daripada calon tidak mencapai tahap penguasaan yang memuaskan.
Dalam masa yang sama, hampir 415,000 calon telah menduduki SPM 2025 — kumpulan pertama tanpa UPSR dan PT3. Keputusan mereka bakal menjadi indikator penting terhadap keberkesanan sistem pendidikan pasca pemansuhan dua peperiksaan utama tersebut.
Di peringkat antarabangsa, kelemahan ini turut terserlah. Laporan Programme for International Student Assessment (PISA) 2022 menunjukkan pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik, Sains dan Bacaan mencatatkan trend menurun sepanjang 2012 hingga 2022. Skor purata Malaysia juga kekal di bawah purata negara OECD.
Dalam konteks ASEAN, Malaysia berada pada kedudukan pertengahan — mengatasi Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja, namun masih ketinggalan di belakang Singapura, Vietnam dan Brunei. Singapura terus mendominasi dengan jurang pencapaian yang ketara.
Menariknya, laporan Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024 mendedahkan bahawa Malaysia sebenarnya mempunyai jumlah waktu PdP Matematik paling rendah di peringkat sekolah rendah (576 jam), berbanding negara lain seperti Filipina (1,330 jam), Kemboja (1,040 jam) dan Vietnam (805 jam).
Namun begitu, Malaysia masih mencatatkan antara peratusan pelajar lemah Matematik yang rendah di peringkat Tahun 5 — sekitar 3% pada 2019 dan 4% pada 2024, kedua terbaik selepas Vietnam.
Ini memberi gambaran bahawa isu penguasaan Matematik bukan sekadar soal jumlah masa PdP, tetapi juga berkait rapat dengan kualiti pengajaran, kaedah pembelajaran dan keberkesanan intervensi.
Hakikatnya, impak penambahan waktu PdP di bawah KP2027 tidak akan dapat dilihat dalam tempoh singkat. Ukuran sebenar kejayaan adalah penurunan kadar kegagalan Matematik dalam SPM pada tahun-tahun mendatang.
Kegagalan dalam Matematik bukan sekadar angka statistik. Ia menghadkan akses kepada peluang pendidikan dan kerjaya, sekali gus menjejaskan masa depan generasi muda negara.
Justeru, KPM perlu memastikan pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 bukan sekadar perubahan struktur masa, tetapi benar-benar membawa transformasi menyeluruh dalam sistem pendidikan , khususnya dalam memperkukuh asas literasi dan numerasi pelajar Malaysia.



