KOTA KINABALU: Seorang lelaki penganggur dipenjara 11 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mengintai anak saudaranya yang sedang mandi.
Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap tertuduh berusia 42 tahun selepas dia mengaku bersalah atas perbuatan mengaibkan kehormatan anak saudaranya yang berusia 18 tahun di bilik air sebuah rumah di Kepayan pada 6 Februari lalu, jam 11.30 pagi.
Mahkamah dimaklumkan bahawa mangsa menyedari perkara itu apabila siling bilik air tiba-tiba runtuh ke lantai bersama sebuah telefon bimbit semasa mandi.
Apabila pengadu melihat ke atas siling, pengadu sedari bapa saudaranya iaitu tertuduh berada di atas siling disyaki telah mengintai pengadu mandi. Tertuduh yang menyedari pengadu melihatnya terus berselindung di atas siling tersebut.
Pengadu merasa terkejut dengan perbuatan tertuduh dan terus mencapai tuala untuk menutup badannya. Pengadu kemudian melarikan diri keluar dari tandas lalu masuk ke dalam bilik serta mengunci pintu biliknya.
Dalam keadaan ketakutan, pengadu terus menghubungi bapanya dan menceritakan tentang kejadian yang berlaku.
Pengadu kemudian buat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatannya yang membawa kepada penangkapan tertuduh pada 27 Februari jam 8.20 malam.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh.



