KOTA KINABALU : Penganjuran Program Mutiara Ramadan yang dianjurkan dengan kerjasama pelbagai agensi Kerajaan negeri dan Persekutuan menjadi platform penting dalam memperkukuhkan rohani masyarakat Islam, dengan menekankan peranan Al-Quran sebagai asas pembinaan insan.
Isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag berkata, Al-Quran adalah penawar hati yang gelisah, cahaya memimpin manusia keluar dari kegelapan, serta sumber kekuatan menghadapi cabaran sosial dan nilai pada zaman ini.
“Tema yang kita angkat pada hari ini ialah ‘Membina Jiwa Menyucikan Hati Dengan Al-Quran’ bukan sekadar ungkapan indah ,tetapi satu seruan besar kepada seluruh masyarakat yang beragama Islam untuk menjadikan Al-Quran sebagai asas pembinaan insan.
“Kita hidup dalam zaman yang penuh cabaran iaitu cabaran pemikiran,cabaran sosial dan cabaran nilai.
“Dalam keadaan ini,umat islam amat memerlukan pedoman yang jelas dan kukuh,serta tiada pedoman yang sempurna selain daripada Al-Quran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Mutiara Ramadan di sini pada Jumaat.
Juliah berkata, bulan Ramadan adalah bulan tarbiah yang mendidik kesabaran,keikhlasan dan ketaqwaan.
“Namun tarbiah ini hanya akan benar-benar berkesan apabila kita menjadikan Al-Quran sebagai sahabat dalam kehidupan seharian. Dibaca,difahami dan diamalkan,” katanya.
Sementara itu, Juliah berkata, program itu bukan sekadar majlis perhimpunan,tetapi satu platform pengukuhan rohani masyarakat.
“Ia menjadi ruang untuk kita memperbaharui hubungan dengan Allah SWT, memperbaiki diri serta menyemai nilai-nilai murni dalam keluarga dan komuniti,” katanya
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabngan Rakyat Sabah (Mutiara GRS), Majlis Ugama Islam Negeri sabah (MUIS) ,Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Baitulmal atas kerjasama erat dalam menjayakan program berkenaan.



