HomeUtamaRogol kenalan bawah umur, remaja diperintah ke Sekolah Henry Gurney

Rogol kenalan bawah umur, remaja diperintah ke Sekolah Henry Gurney

Read Time:2 Minute, 30 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan seorang remaja ditempatkan di Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun atau sehingga berusia 21 tahun, yang mana lebih awal, kerana merogol seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun.

Remaja berusia 18 tahun itu juga diperintahkan menjalani perintah pengawasan polis di bawah Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 selama tempoh tiga tahun selepas dibebaskan dari institusi Henry Gurney.

Hakim Amir Shah Amir Hassan membuat keputusan itu selepas remaja berkenaan, yang berusia 17 tahun lapan bulan ketika melakukan kesalahan, mengekalkan pengakuan bersalahnya dan laporan sosial dikemukakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah merogol mangsa yang merupakan kenalannya pada pertengahan April 2025 kira-kira jam 1.30 pagi di sebuah bilik dalam daerah Tuaran.

Dia didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun atau sebat, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh menghantar pesanan melalui WhatsApp mengajak pengadu untuk berjalan sebelum mengambil pengadu di rumahnya.

Tertuduh kemudian membawa pengadu ke tempat kejadian dan melakukan hubungan seks sebelum menghantar mangsa pulang ke rumahnya.

Ketika menyampaikan keputusannya, hakim berkata kes itu agak unik kerana tertuduh berumur 17 tahun ketika kejadian berlaku, namun telah melebihi 18 tahun ketika didakwa di mahkamah.

Beliau menjelaskan, menurut Akta Kanak-Kanak 2001, jika kesalahan dilakukan ketika seseorang masih kanak-kanak tetapi pertuduhan dibuat selepas dia berumur 18 tahun, kes tersebut didengar oleh suatu mahkamah selain Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.

Mahkamah berkenaan mempunyai kuasa membuat perintah terhadap pesalah muda, termasuk memerintahkan mereka ditahan di Sekolah Henry Gurney sehingga berumur 21 tahun.

Amir Shah berkata mahkamah juga telah menimbangkan laporan sosial yang dikemukakan oleh Pegawai Akhlak.

“Dalam laporan tersebut, pegawai berkenaan mengesyorkan agar mahkamah menggunakan budi bicara dan memberikan perintah khidmat masyarakat di bawah Seksyen 91(1)(da) Akta Kanak-Kanak selama 96 jam secara agregat dalam tempoh tidak melebihi enam bulan. Perintah ini adalah dengan harapan dapat memberi pemulihan, mencegah tertuduh daripada mengulangi jenayah dan memberi manfaat kepada Masyarakat,” katanya.

Namun, mahkamah tidak menimbang untuk bersetuju dengan syor Pegawai Akhlak, antara lain kerana tertuduh dan mangsa saling mengenali antara satu sama lain. Tiada jaminan kesalahan itu tidak akan diulangi sekiranya tertuduh berada di luar sementara menjalani perintah khidmat masyarakat.

Mahkamah berpandangan bahawa perlu ada pemisahan antara tertuduh dan mangsa untuk satu tempoh masa bagi mengelakkan berlakunya kesalahan berulang, selain menjaga emosi dan keselamatan mangsa dalam kes ini.

“Ibu tertuduh juga telah diberikan peluang untuk membuat rayuan bagi pihak anaknya. Walau bagaimanapun, berdasarkan latar belakang keluarga ini seperti dalam laporan sosial, Mahkamah berpandangan tertuduh adalah lebih sesuai untuk diletakkan di suatu institusi yang membolehkan dia untuk insaf dan berubah serta mendapat didikan yang sewajarnya berbanding sekiranya tertuduh balik ke pangkuan keluarga,” katanya.

Beliau berkata hukuman itu juga sebagai pengajaran dan iktibar kepada tertuduh serta peringatan kepada masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan yang sama atau serupa pada bila-bila masa.

Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pencegahan kerana kesalahan itu merupakan kesalahan serius.

RELATED ARTICLES
Utama

Syor nama keluarga terima Rumah SMJ, CDO Elopura mengaku tidak bersalah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular