HomeUtamaSyor nama keluarga terima Rumah SMJ, CDO Elopura mengaku tidak bersalah

Syor nama keluarga terima Rumah SMJ, CDO Elopura mengaku tidak bersalah

Read Time:1 Minute, 27 Second

SANDAKAN: Seorang Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini atas dua pertuduhan menyalahgunakan kuasa dengan mengesyorkan bapa mentua dan adik iparnya sebagai penerima bantuan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

Tertuduh, Herman Idris, 52, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Elsie Primus.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh sebagai badan awam iaitu CDO bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan kepada dua ahli keluarganya apabila mengambil bahagian dalam Mesyuarat Focus Group Daerah Sandakan dengan mencadangkan kedua-dua mereka sebagai penerima bantuan kemiskinan Program Rumah Mesra SMJ bagi kawasan DUN Elopura yang bernilai RM70,000.

Tindakannya itu didakwa menyebabkan bapa mentua dan adik iparnya masing-masing berjaya dipilih sebagai penerima Rumah Mesra SMJ Daerah Sandakan.

Herman didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 26 September 2022 kira-kira jam 2.30 petang di Dewan Persidangan Libaran, Wisma Perbandaran, Majlis Perbandaran Sandakan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Seskyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 puluh tahun dan denda tidak kurang daripada lima ganda jumlah atau suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapati dinilai atau berbentuk wang atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 1 April ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan deposit RM6,000.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Sandakan setiap dua bulan sekali serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, jika ada, sementara menunggu kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Dzulkarnain Rousan Hasbi, manakala tertuduh diwakili peguam Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon.

RELATED ARTICLES
Utama

MA63: Perjuangan tuntut hak Sabah bukan milik parti politik, tetapi semua...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular