HomeUtamaEnam pemuda terima motorsikal baru sumbangan Ketua Menteri

Enam pemuda terima motorsikal baru sumbangan Ketua Menteri

Read Time:2 Minute, 20 Second

TENOM : Enam pemuda yang terlibat dalam insiden kemalangan melibatkan perkhidmatan kereta api dan motor troli yang berlaku di KM134/4 landasan kereta api Tenom ke Pangi baru-baru ini menerima sumbangan motosikal baru.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, sumbangan tersebut disampaikannya bagi pihak Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib masyarakat luar bandar yang berdepan kesukaran pengangkutan.

Beliau berkata, bantuan berkenaan diharapkan dapat membantu mereka yang terbabit meneruskan kehidupan harian serta mencari rezeki walaupun tinggal di kawasan yang sukar diakses.

“Hari ini kita menyampaikan enam buah motosikal kepada enam anak muda yang terlibat dalam peristiwa kereta api antara Tenom dan Pangi empat hari lalu.

“Sumbangan ini disampaikan melalui saya oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. Ini menunjukkan keprihatinan beliau terhadap nasib masyarakat di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan motosikal itu kepada penerima di Tenom.

Jamawi berkata, laluan antara Kampung Pangi dan Pekan Tenom sering terjejas terutama ketika musim hujan atau tengkujuh sehingga menyukarkan pergerakan penduduk.

Katanya, dalam keadaan tertentu, penduduk terpaksa berjalan kaki sehingga enam jam untuk sampai ke Pekan Tenom sekiranya laluan tidak dapat digunakan.

“Setiap kali hujan ataupun musim tengkujuh, laluan ini memang terjejas. Dalam tempoh tiga hingga empat bulan tanpa laluan yang baik, mereka terpaksa berjalan kaki dari Kampung Pangi ke Pekan Tenom sehingga enam jam.

“Inilah kesulitan yang mereka hadapi dan perkara ini difahami oleh Ketua Menteri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah supaya mempercepatkan proses pembinaan jalan yang menghubungkan Tenom dengan Kampung Pangi.

Menurutnya, walaupun kawasan berkenaan masih belum mempunyai alternatif pengangkutan yang mencukupi, faktor keselamatan penduduk tetap perlu diberi perhatian.

Jamawi berkata, masyarakat pedalaman juga menunjukkan semangat tinggi untuk terus berusaha memajukan diri dan keluarga walaupun berdepan kekangan infrastruktur.

“Walaupun tinggal di kawasan pedalaman yang tidak boleh dihubungi kenderaan, mereka masih mempunyai inisiatif untuk memajukan diri serta membantu keluarga masing-masing,” katanya.

Antara penerima ialah Sarudi  Siden, Julintoh Landan, Lewi Rani, Mike Yulon, Leinto Landan dan Tunih Rani. 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya telah membawa rombongan pimpinan Kampung Pangi bertemu Pengarah JKR Sabah, Datuk Ir. Philemon Lajawai bagi mendapatkan penjelasan mengenai projek pembinaan jalan Tenom–Pangi.

Katanya, taklimat yang diberikan memaklumkan cadangan pembinaan jalan sepanjang kira-kira 9.2 kilometer yang akan menghubungkan Tenom dengan Kampung Pangi.

“Juruperunding / konsultan yg dilantik di jangka akan menyiapkan kerja pada Mei tahun ini” katanya.

Menurut Jamawi, projek berkenaan dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat tahun untuk disiapkan selepas pelaksanaannya bermula.

Beliau berkata, sepanjang tempoh tersebut, penduduk masih memerlukan pengangkutan bagi menjalankan aktiviti harian dan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan kereta api yang ada.

Namun katanya, projek jalan raya itu memberi harapan baharu kepada penduduk kerana ia telah dimasukkan dalam program pembangunan JKR Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerosakan Klinik Kesihatan Tangkarason akibat banjir dibawa ke perhatian pihak berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular