HomeUtamaPenangguhan bayaran 40 peratus hasil Sabah tidak wajar, hak negeri perlu dilaksana...

Penangguhan bayaran 40 peratus hasil Sabah tidak wajar, hak negeri perlu dilaksana segera

Read Time:1 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan pembayaran berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah seperti diputuskan Mahkamah Tinggi dilihat sebagai langkah yang sepatutnya dapat dielakkan.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Azrul Ibrahim berkata, meskipun memahami Kerajaan Persekutuan mungkin memerlukan sedikit masa bagi menyusun mekanisme serta kaedah pelaksanaan tuntutan berkenaan secara teratur dan efisien, penangguhan pelaksanaannya dalam keadaan semasa dianggap bukan keputusan yang paling wajar.

Sebaliknya, Azrul berkata, pendekatan lebih meyakinkan ialah memulakan pembayaran sebahagian daripada dana berkaitan berdasarkan kapasiti kewangan sedia ada, sementara perincian jumlah sebenar serta formula pengiraan dimuktamadkan melalui rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam tempoh yang ditetapkan.

“Keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober 2025 menegaskan bahawa Sabah mempunyai hak perlembagaan terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, pelaksanaan keputusan berkenaan wajar dizahirkan melalui komitmen dan itikad baik semua pihak bagi memastikan hak yang diperuntukkan dapat direalisasikan,”‘katanya menerusi hantaran di Facebooknya di sini pada Sabtu.

Menurutnya, penangguhan terhadap perkara tersebut dikhuatiri hanya akan menambah keresahan serta meningkatkan sentimen rakyat Sabah yang sekian lama menantikan penyelesaian adil terhadap hak negeri itu.

Pada masa sama katanya, isu berkenaan tidak seharusnya dipolitikkan sehingga menimbulkan persepsi bahawa Kerajaan Negeri tidak serius dalam menuntut hak tersebut.

“Di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Kerajaan Negeri Sabah dilihat konsisten dan berprinsip dalam memperjuangkan hak negeri termasuk melalui rundingan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Rekod Kerajaan Negeri juga memperlihatkan pendekatan tegas namun berhemah melalui saluran rundingan, perundangan serta kerjasama antara kerajaan bagi memastikan hak Sabah dapat dipulihkan secara berperingkat dan berkesan,” katanya.

Dalam semangat Persekutuan Malaysia yang adil dan saksama, Azrul berkata, Kerajaan Persekutuan diharap dapat mengambil langkah lebih proaktif bagi menyelesaikan isu berkenaan tanpa penangguhan serta memberi keutamaan kepada penyelesaian segera mengikut kapasiti yang ada. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

PBNS teruskan inisiatif kebajikan, bantu pelajar sediakan keperluan raya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular