HomeUtamaDua ditahan guna bom ikan di perairan Kunak

Dua ditahan guna bom ikan di perairan Kunak

Read Time:1 Minute, 19 Second

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu menahan sebuah pam bot yang disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Kunak, semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Dzulfikhar Ali berkata, penahanan itu dilakukan kira-kira pukul 1.15 pagi pada kedudukan sekitar satu batu nautika timur laut Kunak oleh anggota bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Pluto Timur 2/2023, Op Tiris 3.0 dan Op Khas Pagar Laut 1/2026.

“Pemeriksaan awal mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh dua kru lelaki suku Palauh berusia antara 18 hingga 23 tahun yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati vesel yang tidak mempunyai nombor pendaftaran itu sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan, sekali gus melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

“Turut ditemui kira-kira 15 kilogram ikan serta beberapa peralatan menyelam termasuk hos udara di dalam vesel tersebut,” katanya.

Beliau menegaskan aktiviti penangkapan ikan menggunakan bahan letupan atau bom ikan merupakan kesalahan serius kerana bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh memusnahkan habitat marin termasuk terumbu karang serta menjejaskan sumber perikanan negara.

“Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti bom ikan di perairan negara,” tambahnya.

Kesemua kru, vesel dan hasil tangkapan kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

Maritim Malaysia turut menggesa komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang laut serta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan melalui WhatsApp 016-930 5727 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua peniaga dikompaun gagal pamer tanda harga

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular