HomeUtamaStreet Sungkai dan Sahur SLDB eratkan hubungan komuniti setempat

Street Sungkai dan Sahur SLDB eratkan hubungan komuniti setempat

Read Time:1 Minute, 30 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) meneruskan tradisi kebajikan Ramadan menerusi penganjuran Program Street Sungai dan Sahur 2026 bagi membantu masyarakat setempat serta golongan memerlukan.

Program yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Likas itu menyaksikan penyediaan sebanyak 1,500 pek bubur lambuk untuk diagihkan kepada orang ramai sebagai juadah berbuka puasa.

Pengurus Besar SLDB, Datuk Syaheddrrul R. Joddari, berkata program tersebut merupakan inisiatif tahunan yang telah dilaksanakan sejak lebih sedekad lalu dan semakin berkembang dengan penglibatan pelbagai pihak.

Syaheddrrul ketika menyerahkan bubur lambuk kepada pemandu kenderaan di Jalan Tuaran Bypass

Katanya, usaha itu bermula secara kecil-kecilan dalam kalangan warga kerja SLDB dan kini menjadi program kemasyarakatan yang melibatkan sekolah, agensi dakwah, rakan strategik serta komuniti setempat.

“Program ini mungkin kelihatan sederhana seperti memasak bubur lambuk dan berkongsi makanan berbuka, namun di sebaliknya membawa mesej kebersamaan, keprihatinan dan kasih sayang dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Street Sungai dan Street Sahur 2026 SLDB di sini pada Sabtu.

Hadir sama Pengetua SMK Perempuan Likas Datin Samsiah Almalek.

Syaheddrrul menyerahkan bakul ramadan kepada salah seorang penerima pada majlis itu

Pada majlis itu, seramai 50 pelajar asnaf dari sekolah berkenaan turut menerima Bakul Ramadan sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

Syaheddrrul berkata, selain mengagihkan bubur lambuk, pihaknya turut mengagihkan makanan sahur kepada masyarakat sekitar Kota Kinabalu menerusi program Street Sahur.

Katanya, program Street Sahur menyasarkan kakitangan hospital, balai bomba dan balai polis termasuk orang awam.

Beliau turut berharap program itu akan dapat mengeratkan hubungan antara agensi dan masyarakat selain menyemai nilai keprihatinan serta semangat berkongsi rezeki sepanjang bulan Ramadan.

Program berkenaan dijayakan dengan kerjasama beberapa rakan strategik termasuk SMK Perempuan Likas, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Madrasah Tarbiyatun Nisa’ serta Agro Prestasi Sdn. Bhd. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

PERTIWISA santuni 100 ibu tunggal, asnaf sempena Ramadan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular