Oleh Wan Azrain Adnan
Tahun 2025 menyaksikan Malaysia mencatatkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan. Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan asas ekonomi negara yang kukuh, malah membuktikan daya tahan serta daya saing tinggi dalam menghadapi ketidaktentuan global dan tekanan geopolitik.
Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa 2025 merupakan tahun “pecah rekod”.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ekonomi negara berkembang pada kadar 5.2% bagi tahun 2025 mengatasi pelbagai unjuran. Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh sektor Pembinaan yang melonjak 12.2% serta sektor Perkhidmatan yang berkembang 5.5%.
Lebih menarik, pada Suku Tahun Ke-4 2025 sahaja, ekonomi negara berkembang pada kadar 6.3% — prestasi suku tahunan terbaik sepanjang tempoh tiga tahun (2023–2025).
Di sudut perdagangan, Malaysia turut mencatat pencapaian luar biasa. Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) melaporkan jumlah dagangan negara meningkat 6.3% kepada RM3.061 trilion — buat pertama kali melepasi paras RM3 trilion dalam sejarah.
Prestasi eksport juga mencatat rekod baharu, meningkat 6.5% kepada RM1.607 trilion, manakala import meningkat 6.2% kepada RM1.455 trilion. Ini membolehkan Malaysia mengekalkan lebihan dagangan selama 28 tahun berturut-turut sejak 1998, dengan nilai RM151.8 bilion.
Lebih signifikan, sektor Perkhidmatan yang sebelum ini mencatat defisit selama 13 tahun, akhirnya kembali mencatat lebihan dagangan sebanyak RM1.15 bilion pada 2025. Jumlah perdagangan sektor ini turut mencatat rekod tertinggi, mencecah RM543.01 bilion, dengan eksport (RM272.08 bilion) mengatasi import (RM270.93 bilion).
Dalam masa yang sama, Malaysia turut merekodkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah. Malaysian Investment Development Authority (MIDA) melaporkan pelaburan diluluskan mencecah RM426.7 bilion pada 2025, meningkat 11% berbanding tahun sebelumnya.
Daripada jumlah ini, pelaburan domestik menyumbang RM219.6 bilion (51.5%), manakala pelaburan asing berjumlah RM207.1 bilion (48.5%), dengan lonjakan ketara sebanyak 20.9%. Nisbah pelaburan domestik kepada asing turut berubah daripada 55:45 kepada 51:49 — satu isyarat peningkatan minat pelabur luar.
Sebahagian besar pelaburan asing datang daripada lima negara utama — Singapura, China, Amerika Syarikat, Jepun dan Hong Kong — yang menyumbang lebih 70% daripada keseluruhan pelaburan asing.
Secara keseluruhan, pelaburan ini melibatkan 8,390 projek yang dijangka mewujudkan hampir 245,000 peluang pekerjaan baharu, merentasi sektor Perkhidmatan, Perkilangan dan Utama.
Namun, di sebalik angka memberangsangkan ini, terdapat beberapa realiti yang perlu diberi perhatian.
Sebagai contoh, sektor Utama — khususnya perlombongan — menerima pelaburan RM14.2 bilion, tetapi hanya mewujudkan 28 pekerjaan melalui 32 projek. Ini bermakna secara purata, satu projek hanya menghasilkan satu pekerjaan.
Keadaan ini menunjukkan bahawa sebahagian pelaburan lebih tertumpu kepada pengembangan aset dan automasi, bukannya penciptaan pekerjaan berskala besar.
Dari sudut geografi, pelaburan tertumpu di beberapa negeri utama. Johor mendahului dengan RM110 bilion, diikuti Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kedah — yang secara keseluruhan merangkumi 74.5% daripada jumlah pelaburan negara.
Bagi negeri yang dikategorikan sebagai kurang maju, termasuk Sabah dan Sarawak, jumlah pelaburan hanya sekitar 15.5% daripada keseluruhan, walaupun melibatkan hampir 1,000 projek.
Namun begitu, Sabah mencatat perkembangan yang memberangsangkan dengan lonjakan pelaburan sebanyak 125% — daripada RM6.5 bilion pada 2024 kepada RM14.6 bilion pada 2025.
Ini memberi isyarat bahawa usaha kerajaan negeri dan Persekutuan untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi pelaburan semakin membuahkan hasil.
Namun persoalan utama kekal: adakah rekod demi rekod ini benar-benar mencerminkan kesejahteraan ekonomi yang inklusif?
Hakikatnya, pertumbuhan ekonomi yang tinggi perlu diterjemahkan kepada penciptaan pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan rakyat serta pengagihan pelaburan yang lebih seimbang antara wilayah.
Jika tidak, “tahun pecah rekod” ini berisiko menjadi sekadar pencapaian statistik — tanpa impak mendalam kepada kehidupan rakyat.
Ke hadapan, cabaran utama bukan lagi sekadar mencatat angka tertinggi, tetapi memastikan setiap pertumbuhan yang direkodkan benar-benar memberi manfaat menyeluruh kepada negara dan rakyat Malaysia.



