HomeEkonomi86 peratus tenaga Sabah masih bergantung kepada gas asli

86 peratus tenaga Sabah masih bergantung kepada gas asli

Read Time:2 Minute, 22 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kira-kira 86 peratus bekalan tenaga di Sabah ketika ini masih bergantung kepada gas asli, satu situasi yang dilihat kurang seimbang dari sudut keselamatan bekalan tenaga jangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Energy Corporation, Datuk Ir. Ts. Adzmir Abd Rahman berkata kebergantungan yang terlalu tinggi kepada satu sumber tenaga boleh menjejaskan kestabilan sistem bekalan sekiranya berlaku gangguan pada masa hadapan.

Menurut beliau, Sabah perlu mempelbagaikan campuran penjanaan tenaga atau generation mix bagi memastikan keselamatan bekalan serta kemampanan sistem tenaga negeri dalam jangka masa panjang.

“Kebergantungan yang terlalu tinggi kepada satu sumber tenaga bukanlah keadaan yang sihat. Kita perlu mempelbagaikan sumber tenaga bagi memastikan keselamatan bekalan serta kestabilan sistem tenaga pada masa depan,” katanya dalam temubual khas bersama Sabah Media.

Beliau berkata Sabah Energy kini merancang untuk meningkatkan pelaburan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui bagi mengimbangi struktur penjanaan tenaga di negeri ini.

Antara sumber tenaga yang diberi tumpuan termasuk tenaga angin, hidro dan solar yang dilihat mempunyai potensi besar untuk dibangunkan di Sabah.

Bagaimanapun, Adzmir menjelaskan gas asli masih memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negeri kerana sumber tersebut bukan sahaja digunakan untuk penjanaan kuasa, malah turut menjadi bahan mentah industri.

Menurut beliau, gas asli juga digunakan sebagai feedstock bagi menghasilkan produk industri bernilai tambah yang lebih tinggi.

Dalam masa sama, beliau berkata pertumbuhan ekonomi Sabah serta kemasukan pelabur baharu dijangka meningkatkan permintaan terhadap tenaga serta tenaga kerja mahir dan separuh mahir.
Antara pelaburan industri utama termasuk projek kilang bahan solar oleh SBH Kibing Solar New Materials di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) serta projek keluli oleh Esteel Enterprise Sabah dari Singapura.

Sehubungan itu, Sabah Energy turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan melalui program peningkatan kemahiran atau upskilling bagi memastikan tenaga kerja syarikat bersedia menghadapi perkembangan teknologi serta keperluan industri tenaga pada masa depan.

Mengulas cabaran utama dalam pembangunan sektor tenaga di Sabah, Adzmir berkata antara faktor yang perlu diberi perhatian termasuk pembiayaan projek, penguasaan teknologi serta aspek tadbir urus.

Beliau menjelaskan projek tenaga memerlukan pelaburan modal yang besar, justeru akses kepada sumber kewangan dengan kos pembiayaan yang kompetitif amat penting bagi memastikan pembangunan projek dapat dilaksanakan secara mampan.

Selain itu, penguasaan teknologi dan kepakaran teknikal juga penting bagi memastikan projek tenaga dapat dilaksanakan secara cekap serta mencapai hasil yang diharapkan.

“Know-how dan teknologi memainkan peranan penting dalam memastikan setiap projek dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menekankan kepentingan tadbir urus korporat serta kerjasama antara agensi kerajaan dan industri bagi memastikan pembangunan sektor tenaga berjalan lancar.

Sabah Energy, katanya, bekerjasama rapat dengan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah bagi memastikan negeri ini kekal kompetitif dalam menarik pelaburan tenaga serta mengekalkan kos tenaga pada tahap berdaya saing.

Adzmir turut menyatakan keyakinan bahawa sektor tenaga Sabah akan terus berkembang dalam beberapa tahun akan datang selaras dengan pelaksanaan pelan pembangunan negeri serta peningkatan pelaburan industri.

RELATED ARTICLES
Utama

MetMalaysia keluar amaran hujan buruk di Sandakan, Kudat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular