HomeUtamaGagal bayar cukai RM2.17 juta, syarikat dan dua pengarah didenda RM48,000

Gagal bayar cukai RM2.17 juta, syarikat dan dua pengarah didenda RM48,000

Read Time:2 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU: Sebuah syarikat makanan dan minuman serta dua pengarahnya didenda keseluruhan RM48,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan berasingan gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM2,178,939.69.

Hakim Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat ZBN Group Holdings Sdn Bhd serta dua pengarahnya, Zulnizar Norsinin, 41, dan ibunya Rubiah Ahmad, 62, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan masing-masing.

Zulnizar yang mewakili syarikat itu mengaku bersalah terhadap 16 pertuduhan bagi pihak syarikat selain 16 pertuduhan terhadap dirinya sendiri, manakala Rubiah turut berdepan 16 pertuduhan.

Mahkamah mengenakan denda RM1,000 sekiranya gagal membayar, mereka boleh dipenjara selama 14 hari bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah turut memerintahkan jumlah tunggakan cukai perkhidmatan dan penalti itu dijelaskan dalam tempoh 24 bulan secara ansuran, dan sekiranya gagal, mereka boleh dipenjara selama 12 bulan bagi setiap daripada 16 tempoh bercukai.

Berdasarkan pertuduhan, syarikat tersebut bersama Zulnizar dan Rubiah yang berdaftar di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018 didakwa gagal membayar cukai perkhidmatan bagi tempoh 2019 hingga 2022 dalam tempoh yang ditetapkan kepada Ketua Pengarah Kastam.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 26(8) Akta Cukai Perkhidmatan 2018, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Jumlah keseluruhan cukai perkhidmatan yang perlu dibayar ialah RM2,908,548.81, dan daripada jumlah itu RM729,609.12 telah pun dijelaskan, menjadikan baki cukai perkhidmatan yang belum dibayar berjumlah RM2,178,939.69.

Semasa rayuan hukuman, Zulnizar dan Rubiah memohon denda yang lebih rendah. Zulnizar memaklumkan bahawa perniagaan syarikat itu terjejas dan kelewatan pembayaran berpunca daripada pandemik COVID-19 yang memberi kesan kepada aliran tunai Syarikat

Pihak tertuduh turut memohon tempoh 36 bulan bagi menjelaskan tunggakan cukai perkhidmatan tersebut.

Pegawai pendakwa Jabatan Kastam, Azizah Talibe memohon hukuman yang berat bagi memastikan kepatuhan undang-undang dan memelihara kepentingan hasil negara.

Hujahnya, kegagalan tertuduh membayar cukai perkhidmatan dalam tempoh ditetapkan merupakan kesalahan serius yang menjejaskan hasil negara dan bertentangan dengan tanggungjawab sebagai pendaftar cukai perkhidmatan.

“Tertuduh memungut RM2,077,534.91 daripada pelanggan tetapi gagal menyerahkannya kepada Kastam, sebaliknya digunakan untuk kelangsungan perniagaan sendiri. Perbuatan ini menunjukkan pengabaian amanah dan menjadikan kesalahan lebih serius,” katanya sambil menegaskan tertuduh telah melakukan kesalahan sama bagi 16 tempoh bercukai berbeza, menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab yang berterusan.

Mengenai permohonan tempoh masa penyelesaian cukai tertunggak oleh pihak tertuduh, Azizah berkata pihak pendakwaan menyerahkan perkara itu kepada budi bicara mahkamah.

Tertuduh telah membayar denda.

RELATED ARTICLES
Utama

Kes tipu: Menyamar sebagai polis minta sumbangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular