HomeUtamaMahkamah Tinggi tolak permohonan cabar kemenangan Masidi di Karanaan

Mahkamah Tinggi tolak permohonan cabar kemenangan Masidi di Karanaan

Read Time:1 Minute, 21 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh seorang calon bebas yang mencabar keputusan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan.

Kerusi itu dimenangi oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun.

Pemohon, Naomi @ Neomi Francis, 59, menamakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden pertama dan Masidi sebagai responden kedua.

Dalam keputusannya, hakim Datuk Alexander Siew How Wai berkata Mahkamah mendapati permohonan tersebut ‘frivolous’ (tidak berasas) dan ‘vexatious’ (menyusahkan).

Tambahnya, Perlembagaan Persekutuan telah menyediakan kaedah untuk mencabar keputusan pilihan raya, iaitu melalui petisyen pilihan raya.

“Ambang untuk mendapatkan kebenaran belum dipenuhi dan perkara ini tidak sesuai untuk disemak melalui semakan kehakiman. Oleh itu, permohonan kebenaran semakan kehakiman ditolak,” katanya.

Mahkamah turut mengarahkan Naomi membayar kos sebanyak RM5,000 masing-masing kepada kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dan responden kedua, Masidi.

Naomi memfailkan permohonan ex-parte tersebut pada 26 Disember tahun lalu.

Dalam permohonannya, Naomi antara lain memohon agar mahkamah mengarahkan pilihan raya semula, dengan alasan bahawa proses tersebut didakwa gagal memenuhi standard undang-undang dan demokrasi.

Naomi turut mendakwa bahawa pilihan raya tersebut dicemari oleh rasuah dan salah laku, termasuk dakwaan bahawa pengundi ditawarkan wang tunai dan insentif lain sepanjang kempen oleh individu yang dikaitkan dengan calon yang menang.

Dalam PRN Sabah pada 29 November 2025, Masidi yang merupakan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,361 undi dalam pertandingan tujuh penjuru. Naomi hanya memperoleh 115 undi.

Naomi diwakili peguam Priskila Akwila Sinem, manalala Masidi diwakili peguam Rizwandean Bukhary M Borhan, Shahlan Jufri dan Elhanan James.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Alwi mewakili AGC.

RELATED ARTICLES
Utama

Sektor Pelancongan Malaysia Kekal Kukuh Walaupun Konflik Timur Tengah – MOTAC

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular