HomeUtamaProjek pencawang baharu tingkat kestabilan elektrik di Ranau

Projek pencawang baharu tingkat kestabilan elektrik di Ranau

Read Time:1 Minute, 11 Second

RANAU: Kerajaan Sabah menghargai komitmen berterusan Sabah Electricity (SE) dalam memperkukuh sistem pembekalan elektrik di daerah ini melalui pelaksanaan projek infrastruktur tenaga yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, antara usaha penting yang dilaksanakan ialah pembinaan Pencawang Pembahagian Utama Ranau 33/11kV bernilai lebih RM30 juta.

Beliau berkata, pencawang itu kini menghubungkan daerah Ranau secara terus kepada grid elektrik Sabah.

“Kemudahan tersebut memberi manfaat kepada lebih 15,000 pengguna di kawasan Ranau sekali gus meningkatkan kestabilan dan kecekapan bekalan elektrik kepada penduduk serta premis perniagaan di daerah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Seikhlas Budi, Sesuci Ramadan di Kampung Karanaan di sini pada Selasa.

Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, inisiatif itu juga dilihat sebagai langkah penting dalam menyokong pembangunan ekonomi setempat selain merangsang pertumbuhan sektor pelancongan di kawasan Ranau dan Kundasang yang semakin berkembang.

Mengulas mengenai program itu, Masidi berkata, penglibatan syarikat swasta, individu berkepentingan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) melaksanakan tanggungjawab sosial korporat di negeri ini amat dialu-alukan oleh Kerajaan.

Katanya, komitmen itu diperlukan bagi membantu golongan asnaf, fakir miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal serta golongan yang memerlukan bantuan.

“Kerajaan sentiasa memberikan sokongan sepenuhnya ke atas sebarang usaha daripada pihak tertentu untuk membangunkan tanggungjawab sosial sebagai inisiatif membantu golongan memerlukan.

“Usaha Sabah Electricity ini menunjukkan bahawa Sabah Electricity menitikberatkan nilai-nilai kerohanian dan institusi keagamaan dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Kecuaian pemandu punca kemalangan kereta api langgar motor troli di Tenom

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular