HomeUtamaRamadan perkukuh perpaduan, santuni masyarakat pelbagai lapisan

Ramadan perkukuh perpaduan, santuni masyarakat pelbagai lapisan

Read Time:3 Minute, 19 Second

Oleh Normimie Diun

PENAMPANG: Manfaat bulan Ramadan bukan sahaja dirasai umat Islam, malah turut dikongsi bersama masyarakat bukan Islam yang tidak dipinggirkan dalam pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan di Sabah.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, suasana itu jelas dapat dilihat menerusi penganjuran Majlis Iftar dan Sumbangan Ramadan 2026 di Kapayan di sini pada Selasa.

Menurutnya, majlis berkenaan menyantuni seramai 66 golongan asnaf yang terdiri daripada ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), anak yatim dan warga emas.

“Syabas dan tahniah kepada dua NGO di kawasan Penampang khususnya di Kapayan iaitu Pertubuhan Masyarakat Interaktif Suara Sabah (MISUR) dan Pertubuhan Kebajikan Cahaya Sabah atas inisiatif menganjurkan program ini.

“Program seperti ini cukup bermanfaat kerana walaupun masyarakat Islam adalah minoriti di kawasan Kapayan, namun kita melihat ramai tetamu bukan Islam turut hadir memeriahkan majlis iftar dan bersama-sama meraikan bulan Ramadan yang mulia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan majlis berkenaan.

Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah berkata, penyertaan masyarakat pelbagai agama dalam majlis berkenaan mencerminkan semangat saling hormat-menghormati dan perpaduan yang telah lama menjadi amalan masyarakat di negeri ini.

Katanya, walaupun masyarakat Sabah terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan suku kaum, keharmonian dan persefahaman yang kukuh terus dipelihara.

“Program seperti ini bukan sahaja menyantuni golongan memerlukan, malah mampu mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.

“Apabila masyarakat bersatu hati dan menjaga keharmonian, ia akan memudahkan kerajaan melaksanakan agenda pembangunan demi manfaat rakyat dan negeri,” katanya.

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia mampu meningkatkan lagi persefahaman serta semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Nizam berkata kementeriannya turut menyokong penganjuran program berkenaan dan akan terus memberi sokongan kepada inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya golongan belia.

“Saya melihat ramai anak muda turut hadir dalam program hari ini dan ini selaras dengan komitmen kementerian untuk membangunkan belia.

“Kita yakin jika belia dipimpin ke arah yang betul, mereka mampu mencipta kejayaan bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, ramai anak muda Sabah telah membuktikan kemampuan mereka dengan mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang termasuk sukan dan seni hingga mengharumkan nama negeri di peringkat serantau dan antarabangsa.

Nizam turut memaklumkan program berkenaan merupakan penganjuran kali ketiga selepas dilaksanakan sejak 2024.

“Program ini bermula pada 2024 dan diteruskan pada 2025 serta tahun ini. Insya-Allah kita berharap ia dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, pada majlis sama, pengerusi penganjur yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kapayan, Dr Abdul Rashid Hassan berkata, program tersebut merupakan inisiatif berterusan yang merangkumi pelbagai program kemasyarakatan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya turut terlibat dalam usaha membantu menaik taraf sebuah masjid di kawasan Kapayan yang sekian lama tidak dirasmikan.

“Kita telah turun membantu merasmikan masjid berkenaan dan berjaya menaikkan tarafnya sebagai masjid perdana di kawasan ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga melaksanakan program kebajikan melibatkan institusi penjara di kawasan Kapayan.

Katanya, usaha itu termasuk membantu meningkatkan prasarana bagi menyokong program pemulihan banduan, khususnya membabitkan Orang Bebas Bersyarat (OBB).

“Kita turut bertemu dengan OBB bagi memahami keperluan mereka, termasuk dari segi kemudahan dan prasarana yang boleh membantu proses pemulihan serta integrasi semula dalam masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Abdul Rashid berkata pihaknya juga merancang untuk memperluaskan program berkaitan kepada lebih banyak komuniti dan agensi di kawasan Kapayan.

Menurutnya, antara yang akan diberi perhatian termasuk anggota agensi beruniform seperti polis dan jabatan berkaitan penerbangan yang beroperasi di sekitar kawasan berkenaan.

“Di Kapayan ini terdapat pelbagai agensi seperti polis, Jabatan Penerbangan Awam dan beberapa agensi lain.

“Kita mahu mendekati mereka supaya sebarang keperluan atau bantuan yang diperlukan dapat disalurkan melalui kerajaan demi manfaat masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu diharap dapat memperkukuh hubungan antara komuniti, agensi dan kerajaan dalam usaha memastikan kebajikan masyarakat terus diberi perhatian.

Dr Abdul Rashid turut meluahkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengamal media yang membantu dalam penyebaran berita mengenai program-program yang telah dilaksanakan.

RELATED ARTICLES
Utama

Warga emas maut tertimbus tanah runtuh ketika cuba hidupkan genset

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular