HomeUtamaUtamakan keselamatan susulan hujan berterusan di Sabah - Naib Canselor UMS

Utamakan keselamatan susulan hujan berterusan di Sabah – Naib Canselor UMS

Read Time:1 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU : Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada terhadap keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, khususnya yang sedang menikmati cuti semester.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, para pelajar turut dinasihatkan agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesihatan diri, terutama dalam keadaan hujan lebat berterusan yang sedang melanda beberapa kawasan di Sabah.

“Elakkan sebarang aktiviti di kawasan berhampiran sungai, kawasan rendah yang mudah dinaiki air serta kawasan yang berisiko banjir.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu boleh meningkatkan risiko berlakunya banjir kilat, tanah runtuh serta gangguan perjalanan, sekali gus memerlukan para pelajar untuk lebih berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti harian tidak kira di mana sahaja termasuk di kampung halaman,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Untuk rekod, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) pada Isnin mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan Tahap Waspada di beberapa kawasan di Sabah bermula 10 Mac (Selasa) sehingga 11 Mac 2026 (Rabu).

Antara kawasan yang diramalkan terjejas termasuk Pantai Barat (Ranau), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat.

Menurut ramalan tersebut, hujan berterusan itu berpotensi menyebabkan kejadian banjir kilat, kenaikan paras sungai serta gangguan perjalanan di kawasan yang terlibat.

Justeru, Kasim menasihatkan semua pelajar supaya sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri sepanjang cuti semester ini.

“Saya menggesa para pelajar supaya sentiasa mengikuti perkembangan terkini berkaitan keadaan cuaca dan mematuhi nasihat pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

“Sila tangguhkan sebarang aktiviti luar yang berisiko, khususnya di kawasan berhampiran sungai atau lokasi yang berpotensi dilanda banjir,” katanya.

Dalam masa yang sama, Kasim turut memberitahu bahawa pihak universiti sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar, khususnya mereka yang mungkin terjejas akibat bencana banjir atau keadaan cuaca buruk.

“Sekiranya terdapat pelajar yang terkesan akibat banjir atau menghadapi kesukaran kerana keadaan cuaca, sila hubungi pihak universiti melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP),” katanya.

Beliau berharap semua mahasiswa UMS sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh cuaca tidak menentu ini serta mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.

RELATED ARTICLES
Utama

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity dilantik Ahli Program CEO@Faculty FST UMS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular