HomeUtamaWarga emas maut tertimbus tanah runtuh ketika cuba hidupkan genset

Warga emas maut tertimbus tanah runtuh ketika cuba hidupkan genset

Read Time:1 Minute, 7 Second

SANDAKAN: Seorang lelaki warga emas maut dalam kejadian tanah runtuh di belakang sebuah hotel di pusat bandar Sandakan awal pagi tadi ketika cuba menghidupkan generator selepas bekalan elektrik terputus.

Mangsa dikenali sebagai Agustine Frederick J Lingam, 76, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, panggilan kecemasan diterima pada 6.39 pagi melibatkan kejadian di Super OYO 1027 Hotel London, Pusat Bandar Sandakan.

“Sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai dan tiba pada 6.48 pagi.

“Komander Operasi melaporkan kejadian dipercayai berlaku ketika hujan lebat yang menyebabkan bekalan elektrik di hotel berkenaan terputus.

“Mangsa yang dipercayai kakitangan hotel kemudian cuba menghidupkan genset yang terletak di bahagian belakang bangunan sebelum tiba-tiba tertimbus dalam runtuhan tanah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba yang melakukan pemeriksaan mendapati mangsa tertimbus separuh badan sebelum operasi menyelamat dijalankan dengan menggali menggunakan peralatan penyodok.

“Mangsa berjaya dikeluarkan pada 7.14 pagi, namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada 8.19 pagi selepas pasukan bomba memastikan kawasan berkenaan selamat dan tiada lagi risiko runtuhan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Ramadan perkukuh perpaduan, santuni masyarakat pelbagai lapisan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular