Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah mengagihkan sebanyak 500 pek juadah berbuka puasa kepada petugas barisan hadapan serta pengunjung di Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1), di sini, hari ini.
Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, program berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan petugas kesihatan yang terus memberi perkhidmatan tanpa mengira masa, termasuk sepanjang bulan Ramadan.
Menurutnya, agihan juadah itu turut membantu pengunjung yang datang menziarahi ahli keluarga di hospital agar dapat berbuka puasa tanpa perlu membeli makanan di luar.
“Program ini sekurang-kurangnya dapat memberi keceriaan kepada petugas barisan hadapan dan pengunjung yang berada di hospital, selain meringankan sedikit beban mereka untuk mendapatkan hidangan berbuka puasa.
“Kita memilih Hospital Queen Elizabeth pada tahun ini sebagai tanda menghargai pengorbanan kakitangan hospital yang sentiasa komited memberikan rawatan terbaik kepada pesakit tanpa mengira waktu,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan agihan pek berbuka puasa tersebut.
Nizam berkata, program berkenaan juga diharap dapat merapatkan hubungan antara kementerian dengan masyarakat serta menyemarakkan semangat berkongsi rezeki sepanjang Ramadan.
Katanya, selain di hospital, kementerian turut melaksanakan program kebajikan lain termasuk pengagihan bubur lambuk di Kompleks Sukan Likas sebagai sebahagian daripada inisiatif Ramadan tahun ini.
Sementara itu, Pengarah Hospital Queen Elizabeth, Datuk Dr Abd Kahar Abd Asis merakamkan penghargaan kepada kementerian berkenaan atas keprihatinan terhadap petugas hospital.
Beliau berkata, kakitangan hospital bertugas sepanjang masa bagi memastikan perkhidmatan kesihatan kepada pesakit berjalan lancar.
“Hospital ini beroperasi 24 jam setiap hari tanpa mengira hari biasa, cuti umum atau bulan puasa kerana jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di sini sangat ramai.
“Kita mempunyai kira-kira 4,000 kakitangan yang bekerja secara tiga syif, dengan sekitar 1,000 hingga 1,500 petugas bertugas bagi setiap syif,” katanya.
Menurutnya, hospital itu menerima kira-kira 2,000 pesakit luar dan sekitar 700 pesakit dalam setiap hari, tidak termasuk kira-kira 2,500 pengunjung yang datang melawat pesakit.
Tambahnya, sebagai hospital terbesar di Sabah daripada 24 hospital yang terdapat di negeri ini, Hospital Queen Elizabeth memerlukan pembangunan tambahan seperti wad dan klinik baharu bagi menampung peningkatan bilangan pesakit.
Mengulas isu parkir, beliau berkata hospital menyediakan kira-kira 1,500 petak parkir, namun jumlah itu masih tidak mencukupi berikutan jumlah kakitangan, pesakit dan pengunjung yang tinggi setiap hari.



