KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini menolak petisyen yang difailkan calon Warisan bagi mencabar kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Kapor.
Hakim Mahkamah Tinggi Amelati Parnell membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor, Datuk Chong Chen Bin, serta dua lagi responden.
Mahkamah memerintahkan pempetisyen, Terence Au Soon Fu, membayar kos RM20,000 kepada Chong, dan RM10,000 kepada responden kedua dan ketiga.
“Saya dengan ini memutuskan bahawa responden pertama, Chong Chen Bin, dipilih dengan sah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Tanjung Kapor,” kata hakim itu.
Pada 23 Disember tahun lalu, Terence memfailkan petisyen pilihan raya bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa Chong tidak dipilih dengan sah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Kapor; bahawa pilihan raya pada 29 November 2025 adalah terbatal; perintah kos; serta apa-apa relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Beliau menamakan Chong, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Tanjung Kapor dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia sebagai responden pertama, kedua, dan ketiga masing-masing dalam petisyen itu.
Dalam petisyennya, Terence mendakwa pilihan raya tersebut terbatal kerana berlaku rasuah secara meluas yang dilarang di bawah Seksyen 32(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, dengan alasan ia berlaku begitu meluas sehingga boleh dianggap menjejaskan keputusan pilihan raya.
Semasa Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 tahun lalu, Chong selaku calon GRS memenangi kerusi Tanjung Kapor dalam pertandingan 11 penjuru dengan memperoleh 6,171 undi.
Terence yang merupakan calon Warisan memperoleh 4,737 undi; Verdon Bahanda (Bebas) 5,812; Muhammad Affan Jumahat (PN) 1,262; Kevin Lee Sip Kim (BN) 1,455; Shawn Davey Lee (Star Sabah) 434; Jetol Dangin (Parti Impian Sabah) 184; A Halim @ Abdul Halim Yussof (Parti Bumi Kenyalang) 166; Abdul Rahim Madtaip (Bebas) 105; Awang Karim Abdul Kadir (Anak Negeri) 63; dan Bonny Berman (Parti Damai Sabah) 52.
Terence dan Chong, yang juga merupakan Pembantu Menteri Kewangan Sabah, tidak hadir di mahkamah pada prosiding hari ini. Mereka diwakili oleh peguam masing-masing.
Terence diwakili oleh peguam Hairul V. Othman.
Chong pula diwakili oleh peguam Shahlan Jufri, Rizwandean Bukhary M Borhan, Datuk Ram Singh, Farrah Nasser, dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi.
Responden kedua dan ketiga diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan Zetty Zurina Kamaruddin dan Zulyana Zollkapli, serta Peguam Persekutuan Mohd Ashraf Abd Hamid.



