HomeUtamaMCMC siasat kes tular pijak al-Quran di media sosial

MCMC siasat kes tular pijak al-Quran di media sosial

Read Time:1 Minute, 15 Second

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan berhubung penyebaran visual di media sosial yang memaparkan tindakan biadab seorang individu memijak al-Quran.

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, kandungan berkenaan dikesan tular di platform Threads dan Facebook yang memaparkan perbuatan menghina kitab suci umat Islam itu.

Menurut kenyataan itu lagi, perbuatan tersebut bukan sahaja mencetuskan kemarahan umat Islam, malah berpotensi menimbulkan ketegangan serta menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Semakan awal mendapati hantaran asal yang memaparkan kandungan berkenaan telah dipadamkan, manakala akaun yang dipercayai menggunakan nama “Dickie Borneo” juga tidak lagi dapat dikesan,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, MCMC memaklumkan siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengesan individu yang terlibat dalam penyebaran kandungan berkenaan.

Hasil pemantauan lanjut turut mendapati beberapa hantaran lain yang mengandungi unsur penghinaan terhadap agama dipercayai melibatkan individu sama dalam sebuah kumpulan media sosial.

Semua kandungan berkaitan telah dipelihara sebagai bahan bukti bagi membantu siasatan serta tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.

Dalam masa sama, MCMC kini bekerjasama dengan platform media sosial bagi mendapatkan maklumat pemilik akaun untuk mengenal pasti identiti individu terlibat.

MCMC juga bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tindakan tegas dan segera dapat diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan semula kandungan berkenaan kerana ia boleh mencetuskan ketegangan serta menjejaskan ketenteraman awam.

MCMC menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kandungan yang menghina agama, menghasut kebencian atau menyentuh sensitiviti kaum, agama serta institusi diraja, dan tindakan tegas boleh dikenakan di bawah undang-undang sedia ada.

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Musa, Hajiji hadiri majlis berbuka puasa PDRM Kontinjen Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular