BEAUFORT: Penduduk di beberapa buah daerah di Sabah khususnya di kawasan Pantai Barat dan pedalaman negeri ini dinasihat bersiap sedia menghadapi kemungkinan gelombang banjir keempat tahun ini susulan cuaca yang tidak menentu.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam berkata, cuaca semasa menunjukkan kemungkinan berlakunya banjir di beberapa daerah termasuk Pitas, Paitan dan Kota Marudu sebelum menjejaskan kawasan lain seperti Beaufort.
Menurutnya, keadaan cuaca mendung yang bermula sejak semalam turut menimbulkan kebimbangan kemungkinan berlakunya banjir jika hujan berterusan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
“Jika cuaca ini berterusan, ia berpotensi mengakibatkan gelombang banjir keempat berlaku tahun ini.
“Namun kita berharap ia tidak berlaku ketika umat Islam sedang membuat persiapan menyambut Hari Raya.
“Bagaimanapun, jika banjir tetap berlaku, kita perlu reda dan menerimanya dengan sabar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program pengagihan bubur kacang anjuran Persatuan Bersatu Bisaya Sabah (PBBS) di sini pada Rabu.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, sepanjang tahun 2026, Sabah telah berdepan tiga gelombang banjir iaitu pada Januari dan dua pada Februari.
Katanya, keadaan cuaca di kawasan pedalaman seperti Tenom, Keningau dan Tambunan juga boleh mempengaruhi situasi banjir di kawasan hilir seperti Beaufort.
“Berdasarkan sejarah sebelum ini, apabila kawasan Kota Marudu dan Paitan dilanda banjir, Beaufort biasanya akan menyusul selepas itu,” katanya.
Sehubungan itu, Ruslan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk menghadkan pergerakan dan sambutan Hari Raya sekiranya banjir berlaku.
“Jika berlaku banjir ketika Hari Raya, sambutan mungkin agak terhad kerana ahli keluarga sukar bergerak dari rumah ke rumah. Apa yang penting adalah keselamatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai yang merancang pulang ke kampung sempena Aidilfitri agar memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan memandu dengan berhati-hati.
Katanya, pemandu juga dinasihatkan supaya berehat secukupnya, terutama ketika memandu dalam keadaan berpuasa bagi mengelakkan rasa mengantuk yang boleh mengundang bahaya di jalan raya.
“Keluarga di kampung sentiasa menanti kepulangan ahli keluarga masing-masing, jadi pastikan perjalanan dibuat dengan selamat,” katanya.



