HomeSukanPiala Cabaran : Sabah FC tempah tiket ke final

Piala Cabaran : Sabah FC tempah tiket ke final

Read Time:1 Minute, 9 Second

KOTA KINABALU: Sabah FC melakar kejayaan manis apabila mara ke perlawanan akhir Piala Cabaran 2026 selepas menewaskan Perak FA 1-0 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Likas, malam tadi.

Kemenangan itu memastikan Sabah melangkah ke perlawanan akhir dengan agregat 1-0 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada perlawanan separuh akhir pertama di Manjung, Perak pada 4 Mac lalu.

Gol tunggal Sabah dijaringkan pemain pertahanan, Gabriel Peres menerusi tandukan hasil hantaran lintang Muhammad Jafri Firdaus Chew pada minit ke-22.

Pada separuh masa pertama, Sabah lebih banyak menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang berbahaya, termasuk percubaan penyerang Darren Lok pada minit ke-15 yang berjaya diselamatkan penjaga gol Perak, Ahmad Shazwan Shazany.

Bersambung babak kedua, Darren sekali lagi hampir menambah jaringan pada minit ke-47 ketika berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol lawan, namun percubaannya melantun melepasi palang gol.

Sabah turut memperoleh beberapa peluang melalui S. Kumaahran dan Muhammad Jafri, namun percubaan mereka gagal menepati sasaran.

Pasukan pelawat kemudian meningkatkan asakan dalam tempoh 25 minit terakhir permainan bagi mencari gol penyamaan, namun barisan pertahanan Sabah serta ketangkasan penjaga gol Damien Lim berjaya mengekang segala percubaan lawan.

Perak terus melancarkan serangan sehingga lima minit masa tambahan, namun gawang Sabah kekal kebal sehingga wisel penamat.

Keputusan itu menyaksikan Sabah FC mengesahkan tempat di perlawanan akhir Piala Cabaran 2026 dan akan bertemu Penang FC bagi penentuan kejuaraan.

RELATED ARTICLES
Sukan

Liga Super : Sabah FC tekad bangkit, buru kemenangan dalam Borneo...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular